Gesa kerajaan batalkan projek tambak laut

Che Alias
Che Alias
A
A
A

KEMAMAN - Kerajaan digesa membatalkan segera projek mega tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) kerana bakal menjejaskan hampir 10,000 nelayan, majoritinya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, beliau mengikuti perkembangan isu tambak laut Pulau Pinang dan pengambilan pasir di Perak apabila kerajaan negeri tetap berkeras meneruskan projek itu.

Menurutnya, isu terbabit mendapat bantahan kira-kira 100 nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan melalui penyerahan memorandum kepada pihak kerajaan di Parlimen minggu lalu.

"Projek ini dibantah kerana menjejaskan mata pencarian hampir 10,000 nelayan dan kehidupan masa depan nelayan diceroboh dengan penghapusan laut yang merupakan sumber rezeki mereka.

"Selain itu, ekosistem alam sekitar juga akan musnah sekali gus memberi impak kepada persekitaran dan keselamatan manusia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Alias berkata, tiada keperluan projek mega tersebut diteruskan sekiranya memberi impak besar bukan sahaja kepada alam sekitar malah mengancam kehidupan manusia sendiri.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana kerajaan Pusat dan negeri prihatin serta cakna berhubung isu tersebut, selain turut mempersoalkan sama ada pemberian pampasan semata-mata mampu menjamin masa depan untuk jangka panjang nelayan.

"Saya juga menggesa kerajaan untuk memperkasakan semula Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan menyemak semula laporan EIA sebelum ini agar lebih berintegriti, jelas dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini kerana kelulusan laporan EIA projek PSR ini seolah-olah mengabaikan lebih 45,000 bantahan sebelum ini dan tidak dijelaskan secara terperinci cadangan untuk menjual tanah tebus guna untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang," katanya.