Zamihan saman Mufti Perlis RM2 juta

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Dr Zamihan Mat Zin memfailkan saman fitnah terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan menuntut ganti rugi RM2 juta kerana mendakwa mengeluarkan ucapan berbaur fitnah berhubung jawatan dan kerjayanya.

Zamihan selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Azam Aziz Shahrudinali & Co di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini, pada jam 2.30 petang semalam.

Dokumen saman itu diperoleh media melalui peguam Zamihan iaitu Datuk Shahrudin Ali hari ini.

Berdasarkan penyataan tuntutan, Zamihan yang memfailkan saman itu atas kapasiti peribadi mendakwa Mohd Asri ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya sebanyak dua kali melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis sahaja’ dan diterbitkan pada 14 Oktober 2018 dan sesi forum SOSMA yang bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa’ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 9 Februari lalu.

Plaintif mendakwa, ucapan Mohd Asri itu disiarkan di portal berita Malaysiakini bertajuk ‘Asri: Sebut Ayob Khan terbayang muka Zamihan’.

Menurut penyataan tuntutan itu lagi, kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan, profesyen beliau dan ia tidak benar.

Kenyatan fitnah juga itu didakwa membawa maksud bahawa plaintif tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

Selain itu plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa beliau tidak berkelulusan dalam bidang syarak, akidah dan hukum Islam serta tidak layak menjadi pengajar selain didakwa seorang pengganas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat.

Akibat fitnah itu, plaintif mendakwa beliau difitnah teruk dan dipandang hina serta mencemarkan reputasinya dalam masyarakat umum.

Sehubungan itu selain ganti rugi am RM2 juta, beliau menuntut ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta permohonan maaf daripada defendan.

Plaintif turut memohon perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan sama atau berunsur fitnah terhadapnya serta lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.