MH17: Tanah kubur ibarat rumah kedua

Junaidah dan Mohd Salman kerap menziarahi pusara Mohd Ali dan Mohd Salim yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Raja, Pagoh.
Junaidah dan Mohd Salman kerap menziarahi pusara Mohd Ali dan Mohd Salim yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Raja, Pagoh.
A
A
A

PAGOH - Tanggal 17 Julai 2014 menjadi tarikh keramat buat rakyat Malaysia susulan tragedi pesawat MH17 yang ditembak jatuh ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Semua 298 penumpang yang sebahagian besarnya rakyat Belanda dan anak kapal terbunuh.

Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Bagi waris mangsa yang terlibat, insiden itu meninggalkan kesan yang amat mendalam dan masih segar dalam ingatan sehingga kini.

Ibu kepada Allahyarham Mohd Ali Mohd Salim, Junaidah Basiron, 66, berkata, kehilangan anak keenam daripada lapan beradik dalam tragedi itu benar-benar menguji kekuatan dirinya.

“Setiap kali Aidilfitri, ingatan terhadap Mohd Ali tak pernah pudar kerana kejadian berlaku ketika arwah dalam perjalanan pulang menyambut hari raya.

“Aidilfitri tahun ini ternyata lebih berbeza apabila suami (Mohd Salim Sarmo, 69) pula meninggal dunia menjelang Ramadan. Bukan mudah menempuh detik pemergian dua insan tercinta ini, namun kehilangan Mohd Ali banyak mengajar saya erti kekuatan dalam menghadapi dugaan hidup,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Junaidah dan Mohd Salman kerap menziarahi pusara Mohd Ali dan Mohd Salim yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Raja, Pagoh.
Junaidah dan Mohd Salman kerap menziarahi pusara Mohd Ali dan Mohd Salim yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Raja, Pagoh.

Menurutnya, kini dia hanya ditemani anak bongsu, Mohd Salman, 31, yang tinggal bersamanya di Kampung Jayor di sini.

Junaidah berkata, bagi melepaskan rindu terhadap arwah suami dan anaknya, dia akan melawat pusara dua beranak itu yang dikebumikan tidak jauh antara satu sama lain.

“Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja ibarat rumah kedua kami. Saya kerap datang ke sini untuk melepaskan rindu.

“Saya juga selalu sibukkan diri dengan berkebun dan menghabiskan masa di sebuah bilik khas yang dibina di rumah yang menyimpan pelbagai kenangan arwah Mohd Ali,” katanya.

Dalam pada itu, Junaidah mengakui terkilan kerana arwah suaminya tidak sempat melihat pelaku yang bertanggungjawab dalam insiden MH17 itu dihukum.

Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang diterajui Belanda sebelum ini mendedahkan empat suspek yang dikenal pasti terlibat dalam pelancaran peluru berpandu BUK Telar yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17.