Lebih 900 papan tanda, iklan haram diturunkan

MPK dan PDRM bekerjasama dalam Ops Turun Banner dan Iklan Haram.
MPK dan PDRM bekerjasama dalam Ops Turun Banner dan Iklan Haram.
A
A
A

KUANTAN - Lebih 900 papan tanda dan iklan haram diturunkan di sekitar bandar Kuantan di sini, dalam satu operasi besar-besaran membabitkan Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Kontinjen Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, menerusi operasi Ops Turun Banner dan Iklan Haram itu, pihaknya mengenal pasti lebih daripada 20 nombor telefon berlainan disediakan bagi urusan pinjaman.

Menurutnya, rekod tersebut turut menunjukkan ramai terlibat adalah dalam kalangan wanita dan penjaja kecil serta peminjam berulang.

"Papan tanda haram tersebut merupakan iklan paparan kegiatan ah long atau pinjaman tidak berlesen. Tujuan iklan haram ini diturunkan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar tidak terjebak pinjaman ah long sekali gus menutup peluang orang ramai menghubungi ah long menerusi nombor telefon tertera," katanya kepada media selepas operasi tersebut di jalan Teluk Sisek di sini sebentar tadi.

Operasi tersebut melibatkan penyertaan 22 orang dan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A yang bergerak di sekitar bandar melibatkan Jalan Haji Ahmad hingga Jaya Gading, manakala Kumpulan B di sekitar Indera Mahkota.

Operasi turunkan papan tanda dan iklan haram di sekitar bandar Kuantan di sini.
Operasi turunkan papan tanda dan iklan haram di sekitar bandar Kuantan di sini.

Menurutnya, operasi bermula pada jam 9 jam pagi itu berakhir kira-kira jam 11 pagi dan akan diteruskan secara berkala dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Mohd Wazir turut mengingatkan orang ramai tidak terlibat mengiklankan operasi pinjaman wang tidak berlesen kerana menyalahi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana yang terlibat membuat pengiklanan, jika ditangkap ketika menggantung iklan atau papan tanda tersebut boleh didakwa mengikut Seksyen 29 AA Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951.

"Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM200,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Orang awam juga boleh membuat tangkapan terhadap mereka yang sedang menggantung iklan haram dan hubungi polis dengan segera untuk tangkapan semula. Begitu juga dengan mereka yang didapati edar kad bisnes dan lampiran pinjaman ah long, juga boleh didakwa mengikut seksyen yang sama," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini terdapat sekitar tiga atau empat syarikat sahaja yang mempunyai lesen sah pinjaman wang dan pemilik berdaftar boleh membuat pengiklanan mengikut peraturan yang betul.