Pemuda UMNO desak Guan Eng letak jawatan: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi Dusuki. - FOTO ROSLI TALIB
Asyraf Wajdi Dusuki. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemuda UMNO dengan tegas menggesa dan mendesak Lim Guan Eng meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan mendakwa beliau punca utama kemudaratan besar kepada ekonomi negara.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ‘sandiwara’ Ahli Parlimen Bagan itu mengenai rompakan dan kehilangan wang bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion tidak boleh dipandang ringan.

Tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini, itu bukanlah kali pertama Guan Eng menipu rakyat kerana sebelum ini beliau mendakwa hutang negara mencecah RM1 trilion sehingga memudaratkan ekonomi negara.

“Sekurang-kurangnya terdapat 10 kesan penipuan Menteri Kewangan terhadap ekonomi negara. Pertama, dakwaan wang GST dirompak menjejaskan keyakinan pelabur berkenaan tadbir urus kewangan negara hingga mengakibatkan pelabur lari.

“Ia sekaligus mencatatkan aliran keluar dana asing mencecah RM38 bilion. Kedua, pengeluaran dana asing yang berterusan keluar telah menjejaskan Bursa Malaysia sehingga kehilangan 200 mata atau bersamaan dengan kemerosotan nilai sehingga RM270 billion.

“Ketiga, kejatuhan teruk nilai Bursa Saham Malaysia menyebabkan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) mencatatkan kerugian besar nilai pelaburan seperti Khazanah Nasional Berhad (rugi RM21 bilion) dan Tabung Haji (rugi RM10 bilion),” katanya.

Tambah beliau, aliran keluar dana asing juga menyebabkan Ringgit Malaysia menyusut berbanding Dolar Amerika iaitu purata RM4.10 bagi setiap 1 dolar Amerika berbanding RM3.80 pada awal tahun 2018 ketika Barisan Nasional (BN) memerintah.

Jelasnya, ia turut merendahkan pegangan bon-bon kerajaan dan menyebabkan Malaysia berada dalam risiko akan diturunkan penarafan dalam World Government Bond Index dan sekiranya berlaku, Malaysia bakal menyaksikan aliran keluar dari bon lebih RM32 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Menggunakan alasan wang bayaran balik GST dirompak untuk menghalalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjarah hampir RM82 billion dana Petronas telah menyebabkan Moody's merendahkan rating atau penarafan Petronas

“Lebih menyedihkan daripada RM82 bilion yang kononnya untuk melunaskan RM19.4 bilion wang GST, hanya RM1.5 bilion sahaja yang layak dibayar sebagaimana laporan The Edge.

“Penjarahan dana Petronas akibat kekurangan sumber pendapatan sejak pemansuhan GST telah menyaksikan Guan Eng bertanggungjawab meningkatkan Hutang Langsung Kerajaan dari RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017 kepada RM804 bilion baru-baru ini,” tegasnya.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Dr Noraini Ahmad mengesahkan tidak ada kehilangan dalam kutipan hasil GST

Menurutnya, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Jelasnya, kerajaan sebelum ini telah terlebih anggar hasil GST bersih yang dikutip pada kadar 65 peratus daripada jumlah kutipan hasil GST.

“Penangguhan pemindahan dana dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST dibuat untuk menjaga kedudukan aliran wang tunai negara supaya tidak berada di dalam keadaan defisit pengurusan di mana perbelanjaan mengurus tidak boleh melebihi hasil.

“Kerajaan telah mengumumkan akan membuat pembayaran balik cukai GST dalam tahun 2019 dengan menggunakan sebahagian daripada dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion,” katanya dalam satu kenyataan Isnin lepas.