Kerajaan kutip RM91 juta CKHT bagi pegangan lebih 5 tahun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperoleh RM91.86 juta melalui kutipan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) bagi pelupusan hartanah untuk tempoh pegangan melebihi lima tahun, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa setakat 9 Julai tahun ini, sebanyak 4,524 pelupusan telah dibuat meliputi 553 pelupusan oleh syarikat berjumlah RM60.63 juta, 3,760 pelupusan oleh individu warganegara dan pemastautin tetap berjumlah RM29.14 juta dan 211 pelupusan oleh individu bukan warganegara dan bukan pemastautin tetap berjumlah RM2.08 juta.

“Tambahan hasil sebanyak RM91.87 juta melalui kutipan CKHT telah membantu mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan hasil negara,” katanya ketika menjawab soalan Wong Kah Who (PH-Ipoh Timur) berkenaan jumlah CKHT yang telah dikutip untuk pelupusan hartanah melebihi lima tahun pegangan sejak pelaksanaannya pada 1 Januari 2019.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan menaikkan kadar CKHT bagi pelupusan hartanah dan saham dalam syarikat hartanah bagi pegangan melebihi lima tahun.

Kadar yang dikenakan adalah sepuluh peratus bagi syarikat dan individu bukan warganegara berbanding lima peratus sebelum ini dan lima peratus bagi individu warganegara dan pemastautin tetap berbanding sifar sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: