Guan Eng wajar hadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Mohd Puad
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuat kenyataan mengelirukan di Dewan Rakyat berkaitan pulangan balik wang cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Batu Pahat berkata, Guan Eng wajar dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana laporan Jawatankuasa Wang Kira-kira Negara (PAC) yang dikeluarkan Isnin lalu menunjukkan wang pulangan GST berjumlah RM19.4 bilion tidak dirompak.

Beliau berkata, laporan tersebut membuktikan Guan Eng jahil selok belok kewangan walaupun dia akauntan bertauliah.

"Sebab itu jumlah hutang negara pun dia keliru....Penjelasan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir mengesahkan kejahilan Lim Guan Eng.

"Menurut Ahmad Badri, mungkin kefahaman Guan Eng apabila jumlah 'refund' GST ialah RM19.4 bilion, maka ia perlu dipulangkan semua sekaligus, sedangkan ia perlu diproses, disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Sebab itu menurut beliau wang itu tidak hilang atau disalah guna," katanya dalam satu kenyataan media.

Terdahulu, Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad mengesahkan tidak berlakunya kehilangan wang RM19.4 bilion hasil kutipan GST.

Ia dirumuskan selepas pihaknya meneliti keterangan 10 saksi dan taklimat ketua audit negara serta pandangan peguam negara menerusi prosiding yang dimulakan pada 12 September lalu.

Mohd Puad berkata, berdasarkan laporan PAC, setakat 31 Mei 2018 bayaran balik GST yang diluluskan oleh Jabatan Kastam ialah RM1.5 bilion.

Beliau berkata, menurut KSP lagi tidak salah wang pulangan GST disimpan dalam Akaun Disatukan.

"Setelah disahkan untuk bayaran, barulah wang itu dipindahkan ke Akaun Amanah sebelum dipulangkan kepada peniaga.

"Setakat 10 April 2019, hanya RM6.93 bilion daripada 19.4 bilion yang disahkan oleh Jabatan Kastam untuk dibayar balik kepada peniaga. Itu pun kerajaan PH (Pakatan Harapan) cuma bayar RM3 bilion sahaja," katanya.

Katanya, disebabkan itulah PH tidak berani menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ke atas Tabung Haji dan Felda kerana takut terdedah lebih banyak watak 'penipu bersiri'.

Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebanyak RM19.47 bilion daripada kutipan GST sepatutnya dipulangkan tetapi sebaliknya "dirompak".