'Tiada pendakwaan ke atas Taib Mahmud'

Abdul Taib
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara mengesahkan bahawa tiada pendakwaan rasuah terhadap Yang di-Pertua Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong berkata, keputusan itu diambil susulan tiada bukti dan keterangan baru berkenaan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dilakukan Taib bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kertas siasatan.

“Peguam Negara telah mengkaji kes yang telah dibuka terhadap beliau dan telah memutuskan tiada pendakwaan.

“SPRM ada menerima beberapa maklumat daripada Bruno Manser Fund (BMF) dan Sarawak Report namun isi kandungan maklumat tersebut adalah sama seperti siasatan yang telah dibuka sebelum ini. Ia bukan keterangan baru untuk membolehkan SPRM membuka kertas siasatan yang baru. Sekiranya ada bukti-bukti baru, tiada sekatan kepada SPRM untuk membuka semula siasatan,” katanya hari ini.

Liew berkata demikian menerusi jawapan bertulis menjawab soalan Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang meminta perdana menteri menyatakan sama ada SPRM akan membuka semula siasatan terhadap Taib dan juga orang-orang berdekatan dengannya atas tuduhan rasuah dan juga penyalahgunaan kuasa berikutan bukti baru yang dikemukakan atas kerjasama oleh BMF dan Sarawak Report.

Abdul Taib yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dikaitkan dengan pelbagai dakwaan rasuah ketika beliau menjawat jawatan ketua menteri Sarawak dari 1981 hingga 2014.

Pada Mei 2018, BMF menawarkan untuk memberikan maklumat baru kepada SPRM berkenaan dakwaan rasuah terhadap Taib yang merupakan bekas ketua menteri Sarawak.

Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown juga datang ke Malaysia atas tujuan sama, tahun lalu.

Julai lalu SPRM tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap Taib Mahmud walaupun 15 fail siasatan dibuka sejak 2015 atau 2016.

Pada Februari 2018 lalu Taib menerima surat cara pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama empat tahun sebagai Yang di Pertua.

Ini adalah penggal kedua Taib dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Pada 1 Mac 2014, Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh setelah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Februari 2014.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia