3,293 kes baharu HIV dilaporkan di Malaysia, kata KKM

Lee Boon Chye. - Foto Bernama
Lee Boon Chye. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bilangan kes HIV atau human immunodeficiency virus baharu yang dilaporkan di Malaysia, adalah sebanyak 3,293 kes atau pada kadar 10 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2018.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, daripada jumlah ini, sebanyak 47 kes adalah merupakan kanak-kanak berumur bawah 18 tahun.

"Setakat ini apa yang dilakukan oleh kementerian untuk mencegah jangkitan HIV dalam kalangan kanak-kanak khususnya adalah pendekatan pada setiap ibu mengandung perlu membuat saringan HIV.

"Kita juga memberi rawatan supaya mereka tidak menyebar jangkitan kepada bayi, dan setiap kanak-kanak yang dijangkiti juga menerima rawatan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyatakan statistik terkini kanak-kanak di Malaysia yang dijangkiti virus HIV/AIDS dan berapakah rumah perlindungan HIV/AIDS yang dikendalikan masing-masing oleh pihak kerajaan dan pihak swasta dan apakah jenis bantuan yang disediakan oleh Kementerian untuk mereka.

Menyentuh mengenai pusat perlindungan kepada pesakit HIV, katanya, mengikut maklumat daripada Majlis AIDS Malaysia (MAM), bantuan kewangan untuk kos pengurusan telah diberikan kepada 13 rumah perlindungan yang turut menerima pesakit HIV.

"Antaranya, seperti Rumah Soleha (Kuala Lumpur) dan Casa Harapan (Pahang) turut mempunyai penghuni kanak-kanak pesakit HIV.

"Adalah dimaklumkan skop fungsi KKM ialah pencegahan penyakit, jagaan serta rawatan pesakit di hospital atau jagaan asas tetapi tidak termasuk penyediaan rumah perlindungan sementara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebelum ini, kos pengendalian rumah perlindungan adalah di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tetapi pada tahun 2017, KPWKM telah memberhentikan bantuan kos pengendalian dan meminta KKM mengambil alih kos pengendalian.

"Walaupun KKM tidak mempunyai peruntukan khas untuk tujuan ini, namun atas dasar perikemanusiaan, sebahagian kos pengendalian rumah perlindungan tersebut telah dibiayai menggunakan dana bantuan kerajaan di bawah KKM untuk NGO.

"Ini telah memberi kesan kepada program pencegahan kerana peruntukan NGO amat terhad dan ianya seharusnya dikhususkan untuk pencegahan dan kawalan HIV," katanya.