Khairuddin tak perlu menangguk di air keruh: Naib Ketua AMK

Syed Badli
Syed Badli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Penyelaras Parlimen Jasin Pakatan Harapan (PH), Datuk Khairuddin Abu Hassan membangkitkan semula kisah fitnah melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai langkah pincang untuk melindungi pemimpin tertentu.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Syed Osman Shah menasihatkan Khairuddin supaya tidak perlu menangguk di air keruh dengan membangkitkan semula kes berkenaan.

Menurutnya, tindakan terdesak beliau hanyalah kerja sia-sia dan tidak menguntungkan rakyat.

“Anwar Ibrahim telah melalui satu proses derita yang panjang melibatkan badan kehakiman, pihak berkuasa dan segala bentuk siasatan.

“Fasa fitnah dan derita beliau sudah tamat dan beliau kini bersedia sepenuhnya sebagai bakal Perdana Menteri kelapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Khairuddin menyatakan beliau mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat semua video lucah yang mengaitkan Anwar pada suatu ketika dahulu.

Menurutnya, rakyat Malaysia juga ingin tahu sama ada video berkenaan tulen atau sebaliknya.

"Insya-ALLAH, saya akan kumpulkan semula video-video lucah tersebut yang pernah ditularkan melalui media sosial pada suatu masa dahulu dan akan buat laporan rasmi kepada pihak penguatkuasa undang-undang dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu pihak penguatkuasa undang-undang mengesahkan ketulenan video-video tersebut dan sesiapa saja yang terlibat harus diambil tindakan undang-undang.

"Proses undang-undang mesti sama rata dan konsisten. Sesiapa saja yang terlibat dengan pembikinan video-video lucah palsu harus dikenakan tindakan undang-undang secara tegas," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Syed Badli menegaskan sekiranya Khairuddin berterusan melakukan kerja tidak berfaedah, beliau yakin kerusi Parlimen Jasin akan terus kekal milik pembangkang.

“Sebagai Penyelaras Parlimen Jasin, beliau seharusnya menumpukan tugas untuk memperkasakan institusi masyarakat dan bukannya melakukan kerja sia-sia.

“Justeru saya ingin menasihatkan Khairuddin untuk berhenti melakukan kerja-kerja yang sia-sia kerana rakyat sudah jemu dengan politikus yang tidak bekerja untuk rakyat,” tegasnya.