Bimbang ayah ditangkap, guru rugi RM10,000

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang guru sanggup menyerahkan maklumat perbankan miliknya kepada individu tidak dikenali sehingga kerugian RM10,000 bagi mengelak ayahnya ditangkap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 30 tahun mendakwa wang itu dipindahkan secara atas talian tanpa kebenaran pada Isnin lalu.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon pada jam 10.30 pagi menggunakan nombor telefon bimbit, kononnya daripada kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LDHN) Kedah.

“Suspek mendakwa ayah mangsa tidak membayar hutang cukai perniagaan yang didaftarkan atas nama ayahnya berjumlah RM17,600 yang dinafikan mangsa.

“Bagaimanapun, suspek berkata mangsa perlu membuat laporan polis jika dakwaan itu tidak benar dan panggilan kononnya disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar, Kedah,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa juga ditakutkan dengan dakwaan bahawa siasatan Bukit Aman mendapati akaun ayah mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram dan boleh ditangkap jika enggan bekerjasama.

Sehubungan itu, mangsa diarahkan untuk memberikan maklumat perbankan miliknya dan ayahnya kepada seorang individu yang didakwa ‘pegawai atasan’ polis yang memperkenalkan diri sebagai Datuk Azlan.

“Mangsa menurut arahan itu dan diberi peringatan supaya memaklumkan kepada pegawai polis itu jika menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada bank,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Wazir berkata, beberapa minit kemudian, mangsa menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bank menyatakan dia ada membuat dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM20,000.

Bagaimanapun, tindakan pantas mangsa menghubungi pihak bank membolehkan satu transkasi itu disekat dan mangsa membuat laporan polis di IPD Jerantut dekat sini, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.- Bernama