Sejauhmana kolesterol berbahaya

A
A

Anda Musykil, Doktor Jawab

SOALAN 1

DOKTOR, saya baru membuat pemeriksaan kesihatan. Terkejutnya saya apabila doktor memberitahu paras kolesterol saya sangat tinggi. Bolehkah doktor terangkan apakah sebabnya? Apakah panduan untuk saya menurunkan paras kolesterol saya?

- BIMBANG KESIHATAN DIRI, ASMARIZAL FADLI, 32, RANTAU ABANG, TERENGGANU.

JAWAPAN:

KOLESTEROL yang tinggi boleh menyebabkan arteri darah tersumbat hingga menjejaskan jantung.
KOLESTEROL yang tinggi boleh menyebabkan arteri darah tersumbat hingga menjejaskan jantung.

KOLESTEROL ialah bahan semula jadi yang dihasilkan oleh tubuh. Ia mempunyai pelbagai 'tugas' seperti penghasilan hormon, fungsi otak, saraf, penghasilan vitamin D, keanjalan kulit dan fungsi-fungsi sel yang lain.

Kolesterol tidak berbahaya jika tidak berlaku keradangan kronik. Keradangan merupakan punca utama masalah arteriosklerosis yang mana saluran darah menjadi keras dan tidak lagi elastik.

Berdasarkan kajian terkini, keradangan merupakan ‘akar kepada pelbagai penyakit’ termasuklah penyakit jantung koronari.

Tuan, kita selalu ditakutkan dengan makanan berminyak atau berlemak dan makanan kolesterol tinggi sebagai punca kepada peningkatan paras kolesterol dan penyakit jantung.

Pun begitu, makanan yang menyebabkan risiko penyakit kardiovaskular adalah disebabkan peningkatan keradangan dalam tubuh seperti lemak trans, gula pasir dan karbohidrat proses.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah mengeluarkan kenyataan menyokong fakta bahawa makanan berkolesterol dan berlemak bukan punca kepada kolesterol tinggi dan risiko penyakit kardiovaskular.

Makanan yang menyebabkan peningkatan keradangan itu disebabkan lemak trans, gula pasir dan karbohidrat proses.

Malahan kajian juga menunjukkan pengambilan lemak sihat seperti minyak zaitun, minyak kelapa, minyak ikan, minyak habbatus sauda, avocado, minyak kelapa sawit meningkatkan paras HDL (kolesterol baik). Ia menurunkan paras LDL (kolesterol tidak baik) dan mengurangkan radang dalam tubuh.

Selain itu, terdapat beberapa faktor seperti genetik, kurang aktiviti fizikal, stres yang tidak terkawal dan hormon tiroid yang rendah memberikan kesan kepada paras kolesterol.

Cara mudah menurunkan paras kolesterol adalah dengan mengambil sayur-sayuran hijau. Bayam, kangkung dan sawi setiap hari membantu menurunkan kolesterol dan keradangan dalam tubuh.

Buah-buahan juga boleh membantu mencegah pengoksidaan kolesterol LDL. Buah-buahan juga bersifat antikeradangan kerana khasiatnya yang lengkap dengan vitamin, mineral, antioksidan dan serat tinggi.

Tuan perlu memastikan makanan yang diambil seimbang dan mengelak makanan yang tinggi gula, lemak trans dan makanan karbohidrat halus seperti tepung gandum termasuklah makanan proses secara berlebihan.

Jangan lupa untuk bergerak secara aktif dan bersenam selalu di samping mengawal stres dan mendapatkan tidur yang secukupnya.

SOALAN 2

Bahaya kurang pendedahan cahaya matahari

WANITA lazimnya bimbang sinaran cahaya matahari akan membuatkan kulit mereka menjadi gelap.
WANITA lazimnya bimbang sinaran cahaya matahari akan membuatkan kulit mereka menjadi gelap.

DOKTOR, saya inginkan kepastian dari doktor betulkah cahaya matahari boleh memberi banyak manfaat kepada kesihatan sedangkan kita begitu takut sinaran matahari boleh menyebabkan kulit menjadi gelap?.

- INSAN TAHU, KAMARIAH HASSAN,23, PULAU KETAM, PORT KLANG, SELANGOR.

JAWAPAN:

CAHAYA matahari sebenarnya penting kepada kesihatan.

Antara kajian berkenaan pendedahan cahaya matahari yang dibuat ialah:

1. Seorang ahli sains di Karolinska Institutet, Sweden menjelaskan masalah kurang pendedahan kepada cahaya matahari sama risikonya kepada kesihatan seperti merokok.

Berdasarkan kajian yang dijalankan mereka yang tidak merokok tetapi tidak mendapat pendedahan kepada cahaya matahari, jangka hayat hidup sama seperti perokok yang mendapat pendedahan cahaya matahari.

2. Ahli Sains, Edinberg University, Dr Richard Weller mendedahkan cahaya matahari boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi, risiko strok dan serangan jantung.

3. Pengkaji Edinburg University dan Southampton University, menunjukkan radiasi cahaya ultraungu dari cahaya matahari boleh menghalang masalah obesiti dan penyakit diabetes.

Meskipun cahaya matahari memberi banyak manfaat kepada kesihatan puan tidak seharusnya berjemur terlalu lama di bawah cahaya matahari yang terik.

Krim pelindung cahaya matahari harus digunakan secara berkala kerana kulit memerlukan cahaya matahari iaitu vitamin D.

Secara umumnya cahaya matahari merupakan asas penting kepada kesihatan. Namun ia juga boleh mengancam kesihatan jika terdedah kepada cahaya yang terik dan terlalu lama.

Kajian menunjukkan penyakit kanser kulit jenis cutaneous malignant melanoma boleh menyebabkan kematian. Sebaiknya bersederhanalah.

Untuk mendapat pendedahan cahaya matahari secara optima adalah pada jam 8 pagi hingga jam 10 pagi. Waktu itu ideal dan lebih sihat.

Profil

DR Norman
DR Norman

DR Norman Mohd Noraw merupakan doktor perubatan dengan pengalaman selama 21 tahun. Beliau mempunyai bidang pengkhususan dalam perubatan estetik dan antipenuaan serta perubatan regeneratif.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia