Jadikan IPD Seremban contoh IPD lain di NS: Mohamad

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop (tengah) menyaksikan Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim (kanan) dan bekas Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh, bertukar dokumen pada majlis serah terima tugas, semalam. Foto: Bernama
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop (tengah) menyaksikan Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim (kanan) dan bekas Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh, bertukar dokumen pada majlis serah terima tugas, semalam. Foto: Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Penganugerahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebagai daerah terbaik dalam Op Selamat 15 Hari Raya Aidilfitri 2019 bagi seluruh Malaysia diharap dapat menjadi contoh kepada IPD lain di negeri ini dalam memantapkan lagi perkhidmatan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, beliau optimis semua IPD di negeri ini mampu mempamerkan prestasi yang baik ketika mengendalikan Op Selamat pada masa akan datang.

"Prestasi IPD Seremban yang diumumkan sebagai daerah terbaik di seluruh Malaysia pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 15/2019 telah memberi harapan kepada kita untuk memastikan daerah-daerah lain juga mampu menjadi yang terbaik dalam mengendalikan Op Selamat pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, demikian pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Seremban di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berusaha mendapatkan keyakinan rakyat terhadap institusi kepolisan.

"Sebenarnya banyak kejayaan yang dibuat pihak polis tetapi persepsi diberikan masyarakat masih kurang dan tidak berapa baik,” katanya.

Mohd Said berkata, pihaknya akan cuba mempertingkatkan serta memantapkan kualiti perkhidmatan dalam usaha merealisasikan tanggungjawab menjaga keselamatan orang awam.

"Dengan ini, kita cuba mendapatkan keyakinan itu semula dengan memperbaiki mutu perkhidmatan dan memberikan komitmen sebaik mungkin selain mencari jalan penyelesaian bagi menangani masalah itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Said berkata, beliau akan memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan daerah Seremban menjadi lebih selamat dan sejahtera.

Beliau dilantik sebagai Ketua Polis Seremban yang baharu menggantikan Asisten Komisioner Thiew Hock Poh.- Bernama