Susu bukan penyebab kanser merebak

A
A
A

SUSU minuman berkhasiat yang tinggi dengan zat kalsium dan protein yang diperlukan oleh pesakit kanser.

SEORANG pakar mengesahkan bahawa susu yang tinggi dengan zat kalsium dan protein diperlukan oleh seorang pesakit kanser.
SEORANG pakar mengesahkan bahawa susu yang tinggi dengan zat kalsium dan protein diperlukan oleh seorang pesakit kanser.

Itu fakta yang disahkan oleh Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pakar Avisena, Shah Alam, Selangor, Dr Ahmad Zubair Anis Ahmad sekali gus mematahkan teori kononnya susu menyebabkan kanser merebak.

Ujar Dr Ahmad Zubair, zat-zat lain yang terdapat pada susu seperti biotin, magnesium, vitamin, potasium, tiamina dan protein penting untuk rawatan dan penyembuhan tubuh pesakit kanser.

"Semua orang perlukan makanan seimbang, begitu juga dengan pesakit kanser. Tiada makanan yang dapat menyembuhkan kanser dan tiada makanan spesifik yang perlu dimakan atau dielak jika menghidapi kanser.

"Kanser dan jenis rawatan yang dilalui oleh pesakit akan meningkatkan keperluan badan. Oleh itu, pesakit perlu meningkatkan pengambilan nutrien," jelasnya kepada Sihat:Aktif.

Pun demikian, Dr Ahmad Zubair tidak menolak, dengan keadaan yang dilalui oleh pesakit, pastinya proses pengambilan makanan akan terganggu.

Justeru ujarnya, amalan pemakanan yang baik sebelum, semasa dan selepas rawatan sangat penting untuk menjadikan pesakit lebih sihat dan bertenaga.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kenyataan itu (kanser merebak disebabkan susu) mungkin dikaitkan dengan situasi pesakit menghidap kanser tulang atau kanser yang telah merebak ke tulang, berhadapan dengan paras kalsium dalam darah menjadi tinggi. Ia akan menyebabkan masalah fisiologi badan.

"Pesakit itu tidak disarankan untuk mengambil makanan yang tinggi kalsium seperti susu. Jika kandungan kalsium dalam darah tinggi, rawatan akan diberikan untuk menurunkan paras kalsium tersebut,” jelas Dr Ahmad Zubair.

DR Ahmad Zubair
DR Ahmad Zubair

Hormon

Terang beliau lagi, susu disalahkaitkan dengan kanser seperti prostat disebabkan kandungan hormon dalam susu. Kandungan hormon itu pula dikaitkan hasil suntikan yang diberikan kepada lembu untuk meningkatkan jumlah susu.

Meskipun begitu, perkaitan itu belum terbukti secara menyeluruh melalui penyelidikan, kata Dr Ahmad Zubair.

Menurutnya lagi, kebanyakan pesakit yang datang berjumpa dengannya bersangkut-paut dengan penyakit kekurangan zat kalsium dalam diet harian.

Masalah itu adalah seperti patah tulang akibat tulang rapuh, sakit tulang belakang, bengkok akibat tulang belakang yang rapuh dan juga sakit otot akibat kekejangan yang berlaku khususnya pada waktu malam.

"Pesakit akan menerima rawatan bergantung pada simptom, punca dan diagnosis. Jika pesakit berumur 60 tahun ke atas, suplemen kalsium dan vitamin D akan diberikan.

"Mereka juga disarankan mengamalkan diet yang seimbang dan senaman bersesuaian. Penyembuhan bergantung kepada punca kekurangan kalsium dalam badan.

"Jika puncanya ialah diet yang tidak seimbang dengan kekurangan susu, keju, sayur, pakar diet akan memberikan sesi kaunseling dan suplemen yang boleh menyembuhkan keadaan pesakit,” kata Dr Ahmad Zubair.

Prihatin dengan keadaan pesakit yang tidak boleh minum susu, beliau menasihatkan supaya golongan itu menggantikannya dengan sumber protein yang boleh didapati melalui daging, telur, keju, kacang dan makanan berasaskan soya.

Kalsium pula boleh didapati daripada sayuran hijau seperti sawi dan bayam.

Selain itu, pesakit harus mendapatkan tidur, rehat dan beriadah dengan secukupnya untuk mendapatkan badan yang sihat dan minda yang cergas.

Menurut pihak Nestle Omega Plus dan Sains Kesihatan Nestle, Malaysia, permintaan terhadap produk susu di Malaysia pada tahun lalu sebanyak 72 juta unit susu Nestle Omega Plus (telah digunakan oleh masyarakat).

Kajian yang dijalankan itu juga sekali gus menunjukkan masyarakat sedar betapa pentingnya susu.

ANEKDOT

KHASIAT susu

SUSU mengandungi pelbagai jenis mineral.
SUSU mengandungi pelbagai jenis mineral.

- Mengandungi pelbagai jenis mineral yang membantu proses penting tumbesaran tulang.

- Kalsium sebanyak 28 peratus merupakan mineral yang bertanggungjawab tulang sihat.

- Vitamin D sebanyak 24 peratus dan fosforus sebanyak 22 peratus penting dalam proses homeostasis tulang.

JENIS susu di pasaran:

1. Untuk bayi

- Dipekkan mengikut umur.

- Diformulasikan dengan bahan tambahan seperti DHA, probiotik, zat besi dan lain-lain mengikut keperluan anak.

2. Untuk kanak-kanak dua tahun ke atas

- Susu segar atau penuh krim bagi memenuhi keperluan kalsium dan protein.

3. Untuk orang dewasa

- Susu penuh krim, rendah lemak dan susu skim sesuai untuk orang dewasa yang mahu menjaga kesihatan.

- Untuk mereka yang menjaga paras kolesterol, disarankan mengambil susu rendah lemak dan susu skim.

4. Susu formula khas

- Mempunyai protein dan kalori yang tinggi. Digunakan pesakit dan individu yang memerlukan keperluan khas.

- Rujuk pegawai dietetik untuk mendapatkan konsultansi yang betul mengikut keperluan.

WASPADA pengambilan susu:

- Walaupun ia sumber kalsium dan protein yang baik, sekiranya diambil berlebihan akan meningkatkan kalori harian.

- Bagi pesakit buah pinggang pengambilan susu berlebihan akan memberi kesan kepada peningkatan bacaan darah dan boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk.

- Sekiranya mempunyai masalah kesihatan tetapi mahu mengambil susu dalam diet harian, berjumpalah dengan pegawai dietetik.

Sumber: Pegawai Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Ruqayyah Muhammad.