Signifikan susu kepada manusia

A
A
A

Medik

SEMPENA HARI SUSU SEDUNIA

SUSU bagus untuk tulang.
SUSU bagus untuk tulang.

SETIAP malam Dewi Permatasari sering mengalami kejang pada bahagian kaki. Dari sehari ke sehari, wanita berusia 34 tahun itu mengalami kesukaran bergerak. Perubahan kian ketara pada tubuh sederhana besarnya itu apabila posisi tulang belakangnya sedikit bongkok.

Biarpun masih muda, tetapi Dewi bimbang apabila acap kali mengalami sindrom seperti orang berusia. Beliau sering berdepan masalah kebas.

Lebih mengundang kegusaran, pada masa sama dirinya selalu letih dan tidak bermaya. Masakan tidak, lima cahaya matanya yang masih kecil sudah pasti memerlukan perhatian.

Ya, sekali pandang, wanita itu bagaikan tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan. Namun, siapa sangka di sebalik air muka cerianya itu, Dewi menanggung sakit tulang belakang.

Derita yang juga dikenali sebagai osteoporotic spinal fractures telah mula dialami sejak lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

DEWI Permatasari
DEWI Permatasari

Pada satu pertemuan dengan Sihat:Aktif, Dewi secara terbuka menunjukkan bahagian tulangnya yang sentiasa sakit. Benar, nampak sedikit bengkok. Itu impak yang terpaksa 'dibayarnya' gara-gara tidak suka minum susu semenjak kecil.

"Ketika masih kecil, ibu memberitahu yang saya menolak minum susu formula. Ibu terpaksa mencari alternatif lain kerana susu ibu tidak banyak. Apabila dewasa, saya masih tidak boleh minum susu dan makan sayur-sayuran. Bukan tak pernah cuba minum susu dan makan sayur, tapi akhirnya saya akan muntah balik,” kata Dewi ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam, Selangor.

Pun demikian, menurut Dewi, beliau masih boleh bergerak seperti biasa dan melakukan rutin sebagai seorang ibu. Sakit tulang belakang hanya akan dirasai tatkala membuat kerja berat atau bergerak aktif.

"Ubat dan vitamin jadi peneman saya bagi menambah kalsium yang diberikan oleh pihak hospital," katanya.

Nampaknya, penangan susu bukan calang-calang. Ia boleh meninggalkan kesan jangka panjang.

Berdasarkan data Yayasan Osteoporosis Antarabangsa, kira-kira 8.9 juta penduduk di seluruh dunia dilaporkan menderita penyakit osteoporosis iaitu mengalami sakit dan patah tulang setiap tahun.

Daripada jumlah tersebut, dianggarkan lebih kurang 200 juta wanita berdepan masalah itu. Adakah Dewi salah seorang daripadanya?

Boleh dielak

Bercerita lanjut tentang osteoporosis, Pakar Ortopedik dan Pembedahan Spinal, Hospital Universiti Sains Malaysia, Dr Azizul Akram Salim atau Dr Azizul melontarkan pandangan.

Menurut Dr Azizul, penyakit yang dideritai oleh Dewi berlaku kerana beliau kekurangan kalsium dalam tubuh. Ketidakcukupan zat terbabit menyebabkan seseorang itu boleh mengalami masalah tulang rapuh dan mudah patah.

DR Azizul
DR Azizul

Masalah itu lebih cenderung dialami oleh golongan wanita kerana mempunyai tulang yang kecil, nipis dan jisim tulang juga kecil berbanding lelaki.

"Kawasan tulang rapuh pula mudah patah pada bahagian pangkal paha, belakang dan pergelangan tangan,” kata Dr Azizul dalam temubual bersama Sihat:Aktif.Jelas pakar itu, tulang yang sihat dilihat melalui kaedah bone densitometry yang mana ketumpatan tulang diukur menggunakan mesin khas.

Menurutnya, bacaan 'tidak cantik' apabila ketumpatan mineral tulang kurang daripada -2.5 skor.

Biasanya, pesakit tulang rapuh mudah mengalami patah pada bahagian tulang belakang, pangkal paha dan pergelangan tangan. Kes sebegitu amnya memerlukan pembedahan untuk rawatan, kata Dr Azizul.

Bagi kes tulang belakang yang patah pula, simen perlu dimasukkan ke tulang untuk memberi kestabilan dan mengurangkan kesakitan.

SAKIT tulang belakang kerana kekurangan kalsium dalam badan.
SAKIT tulang belakang kerana kekurangan kalsium dalam badan.

Persoalannya, bolehkah penyakit tulang rapuh dapat dihindari manusia?

"Boleh jika seseorang mengambil susu dari peringkat kanak-kanak lagi. Waktu yang penting untuk mengambil susu adalah pada peringkat umur kanak-kanak hingga awal dewasa lingkungan 20 hingga 30 tahun. Itu waktu yang penting untuk seseorang itu mengambil susu secara optimum.

Ini kerana tempoh puncak jisim tulang (peak bone mass) terjadi pada waktu tersebut. Penting untuk mengekalkan jisim tulang pada tempoh itu supaya tulang tidak mudah rapuh setelah peningkatan usia berlaku," ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya, tidak bermakna orang dewasa dan berusia tidak perlu untuk mengambil susu secara berkala.

Pengambilan susu pada usia tua juga penting bagi mengekalkan kesihatan tulang, terang Dr Azizul lagi.

Penting dalam diet Sementara itu, Pegawai Dietetik, Hospital Universiti Sains Malaysia, Ruqayyah Muhammad juga mempunyai rantaian penjelasan berhubung kepentingan pengambilan susu.

RUQAYYAH
RUQAYYAH

Beliau tidak menafikan masyarakat sering dimomokkan bahawa susu hanya untuk kanak-kanak. Ramai terlupa bahawa ia keperluan utama sejak bayi hingga dewasa termasuk warga emas.

"Penting bagi setiap orang menjadikan susu sebahagian daripada diet harian. Usah dilupakan walaupun sudah mengambil pelbagai makanan lain.

"Susu atau pun produk tenusu ialah sumber protein yang sangat baik untuk membantu pembinaan otot dan sel tubuh manusia. Ia kaya dengan kalsium, sumber mineral seperti riboflavin, fosforus, zink dan juga magnesium serta vitamin A, B12, D yang sangat penting untuk kelangsungan hidup manusia," katanya.

Jelas beliau, kalsium sangat signifikan dalam pembinaan tulang dan gigi sihat serta memastikan otot dapat berkontraksi dengan baik.

"Ia juga membantu pembekuan darah dan memastikan ritma jantung yang normal,” kata Ruqayyah.

Beliau menambah, pada setiap hari, sekurang-kurangnya 1,000 miligram (mg) kalsium diperlukan.

"Ia perlu diambil orang dewasa bagi memastikan aras kalsium dalam darah dan simpanan pada tulang mencukupi untuk fungsi tubuh berjalan baik.

"Sekiranya, aras kalsium darah rendah, kalsium akan dikeluarkan dari tulang untuk memastikan aras kalsium di dalam darah normal. Itu boleh membawa kepada masalah osteoporosis disebabkan tulang menjadi lompong akibat kekurangan kalsium.

"Kekurangan kalsium lebih tinggi risikonya kepada warga emas untuk jangka masa yang panjang," kata Ruqayyah.

Alternatif

KEBAIKAN susu daripada sumber kalsium.
KEBAIKAN susu daripada sumber kalsium.

Antara sumber lain untuk mendapatkan kalsium adalah melalui pengambilan sayur-sayuran seperti bayam, sawi, cekur manis, brokoli dan juga kailan.

Selain itu, kalsium turut kaya dalam ikan bilis, sardin, produk soya seperti tauhu, tempe, fucuk, kacang dal kuning dan buah seperti oren.

Menurut Ruqayyah, satu hidangan susu yang berkualiti tinggi mempunyai sekurang-kurangnya lapan gram protein dan lebih kurang 100 hingga 250 mg kalsium, bergantung kepada jenis dan jenama susu.

"Untuk mencukupkan keperluan protein dan kalsium harian, disarankan pengambilan susu dan produk tenusu sebanyak satu hingga tiga hidangan sehari. Kemudian boleh ditambah daripada sumber makanan lain.

"Namun begitu, terdapat pelbagai susu di pasaran yang telah difortifikasikan dengan kalsium yang mampu memberikan hingga 500mg kalsium dalam satu hidangan susu sahaja. Bermakna dengan dua hidangan susu sehari, kita sudah mampu mencukupkan keperluan kalsium sehari," jelasnya.

Sekiranya terdapat individu yang mempunyai masalah ketidaktoleransi laktosa, mereka boleh mengambil susu yang bebas laktosa atau rendah laktosa.

"Masalah ketidaktoleransi laktosa berlaku kepada individu yang kekurangan enzim bagi menghadamkan laktosa dalam susu. Itu antara yang menyebabkan mereka akan mengalami cirit-birit, muntah dan kembung apabila mengambil susu.

"Contoh situasi sama juga boleh berlaku apabila orang tua yang sudah lama tidak minum susu dan kemudian mengambilnya," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya pengambilan susu secara berlebihan akan menyebabkan berlaku peningkatan kalori melebihi keperluan.

Seperkara beliau berpesan, pengguna juga perlu mengelak meneguk minuman kesihatan yang tidak pasti bahan kandungannya kerana dikhuatiri boleh merosakkan lagi tubuh badan.