Dugaan berganda dua beranak

Norhisham (tengah) bersama isterinya sewaktu menerima kunjungan Mohd Hamidi.
Norhisham (tengah) bersama isterinya sewaktu menerima kunjungan Mohd Hamidi.
A
A
A

BATU PAHAT – Seorang lelaki di Kampung Parit Maimon, di sini yang diserang penyakit strok terus diuji apabila anak sulungnya yang menjadi harapan keluarga pula disahkan mengalami komplikasi jantung.

Norhisham Hudin, 39, berkata, dia yang diserang penyakit strok sejak bulan April lalu mengakui fikirannya bertambah runsing selepas anak sulungnya, Norfakhriy Fasyin, 16, disahkan menghidap penyakit jantung kronik pada bulan lalu.

“Dua daripada injap jantung anak saya membengkak serta bocor dan dia perlu menjalani pembedahan yang akan dilaksanakan di Institut Jantung Negara (IJN) dan kami sekarang hanya menunggu tarikh pembedahan sahaja.

“Kos pembedahan ini dianggarkan sekitar RM100,000 hingga RM150,000 termasuk rawatan susulan yang akan dijalankan di IJN, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat,” katanya.

Dia ditemui sewaktu menerima lawatan Pengerusi Khas Biro Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Jati (PKAAJ) Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap di rumahnya di Kampung Parit Maimon, Parit Sulong, di sini hari ini.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia kini tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menggunakan wang simpanannya sebagai tukang masak sebelum ini, manakala isterinya, Hasnizah Tubari, 37, tidak bekerja.

“Pekerjaan saya sebagai tukang masak di sebuah syarikat katering sebelum ini juga hanya cukup untuk menampung keluarga dan sebelum ini kehidupan kami normal seperti keluarga lain dan keadaan mula berubah selepas saya mengalami kemalangan pada bulan Februari lalu.

“Sejak kemalangan tersebut, keadaan kesihatan saya semakin menyusut dan anggota badan rasa semakin lemah sebelum saya terkena serangan strok pada bulan April yang mengakibatkan sebahagian badan saya sukar untuk digerakkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pada tahun lalu juga, kesemua jari kaki kirinya terpaksa dipotong akibat penyakit diabetis kronik dan kini bahagian kanan anggota badannya pula sukar digerakkan akibat serangan strok.

Katanya, dia kini hanya mengharapkan bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mengakui jumlah tersebut tidak tidak mencukupi kerana habis digunakan untuk membeli ubatan sahaja.

Sementara itu, Mohd Hamidi berkata, dia akan merujuk masalah yang menimpa keluarga ini kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) bagi permohonan bantuan mengikut kelayakan mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi Hasnizah di talian 017-7184371 atau menyalurkan wang secara terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0112641100007811.