Kemboja batal projek penjara lima bintang

Keadaan penjara di Kemboja didakwa terlalu sempit dan tidak menyediakan keperluan asas mencukupi untuk banduan.
Keadaan penjara di Kemboja didakwa terlalu sempit dan tidak menyediakan keperluan asas mencukupi untuk banduan.
A
A
A

PHNOM PENH - Kerajaan Kemboja akan membatalkan projek untuk menambah sayap ‘hotel’ di penjara terbesar di Phnom Penh yang mencetuskan kontroversi.

Awal bulan lalu, kerajaan mengumumkan projek menelan kos AS$4 juta (RM16 juta) melibatkan penambahan di kawasan seluas 1.5 hektar di penjara Prey Sar yang sesak dan didakwa memberi kelebihan kepada banduan kaya.

Sayap tersebut mempunyai kapasiti untuk menempatkan kira-kira 400 banduan di sel lebih besar yang mempunyai ruang tambahan untuk bersenam dan melakukan aktiviti keagamaan.

‘Penjara lima bintang’ itu dibangunkan dengan kerjasama syarikat swasta Kunn Rekon Holdings yang bersetuju dengan perjanjian pembinaan operasi pemindahan dengan kerajaan termasuk perkongsian hasil.

Tetapi, Jabatan Penjara di Kementerian Dalam Negeri memberitahu rancangan itu bakal dibatalkan.

“Idea mengenakan bayaran dan konsep penjara mewah seperti itu telah dibatalkan. Kini, kita perlu melalui proses formal dengan syarikat terlibat projek itu dan memaklumkan kepada kerajaan. Tidak akan ada penjara berbayar,” ujar jurucakapnya.

Jelas kementerian itu lagi, sayap baharu tersebut akan digunakan untuk menempatkan banduan yang menunggu perbicaraan.

Tiada alasan kukuh yang diberikan tentang sebab utama pembatalan projek itu.

Artikel Berkaitan:

Namun, kementerian terbabit pernah menyuarakan kebimbangan terhadap projek kemudahan tahanan itu yang dikhuatiri tidak dapat memenuhi piawaian antarabangsa dan standard kebangsaan.

Ia juga menafikan projek itu dibatalkan kerana berdepan kritikan beberapa pihak yang mendakwa penjara itu akan mewujudkan sistem keadilan dua peringkat dan menjadikan penjenayah tidak lagi takut untuk dipenjarakan pada masa depan.

Difahamkan, skim penjara berbayar itu diumumkan pada 2016 oleh Menteri Dalam Negeri, Sar Kheng yang digelar sebagai ‘hotel atau pusat tahanan’ dan majlis pecah tanah telah dibuat pada Mei 2017.

Bagaimanapun, idea untuk mengkomersialkan sistem keadilan jenayah dengan memperkenalkan gred penginapan berbeza di penjara mencetuskan kontroversi.

Pegawai advokasi di Pusat Hak Asasi Manusia Kemboja, Duch Piseth menerusi artikel diterbitkan The Phnom Penh Post pada 2017 berkata, membahagikan kawasan dalam penjara sebagai ‘ruang baik atau jahat’ melanggar hak dan kebebasan banduan kerana mereka wajar diperlakukan sama dengan yang lain.

Ketika ini, sistem penjara Kemboja didakwa telah didominasi rasuah.

Pada 2015, laporan Pusat Promosi dan Pertahanan Hak Asasi Manusia mendapati 18 penjara yang dipantau mereka telah memberi banduan kaya membayar untuk sel penjara lebih baik selain diberikan layanan pekerja seks malah ada yang menawarkan ‘sel VIP’ untuk tahanan tertentu.

Menurut laporan mereka lagi, kebanyakan banduan di Kemboja tinggal dalam keadaan serba daif dengan ruang sel sempit berukuran 0.7 meter persegi dan sesetengah tahanan hanya diberikan lima liter air sehari untuk mencuci dan minum. - Agensi