Tahanan Palestin meninggal di penjara Israel

Seorang wanita Palestin menyertai protes menuntut siasatan ke atas kematian Nassar.
Seorang wanita Palestin menyertai protes menuntut siasatan ke atas kematian Nassar.
A
A
A

RAMALLAH - Seorang tahanan Palestin yang ditempatkan di dalam kurungan bersendirian di penjara Israel dilaporkan meninggal dunia kira-kira sebulan selepas penahanannya.

Nassar Taqatqa, 31, diberkas pada 19 Jun lalu selepas tentera rejim Zionis menyerbu kediaman keluarganya di perkampungan Beit Fajjar di bandar Baitulaham, Tebing Barat.

Pada mulanya, pemuda itu dibawa ke pusat soal siasat Jalameh di mana tahanan biasanya berdepan penderaan fizikal dan psikologi yang dilakukan pihak berkuasa Israel.

Menurut Pusat Kajian Tahanan Palestin, Nassar kemudiannya dipindahkan ke penjara di al-Ramleh dan ditempatkan di dalam kurungan seorang diri kira-kira dua minggu selepas itu.

Jelasnya, Israel bertanggungjawab atas kematian mangsa kerana dia tidak menghidap sebarang penyakit sebelum ditangkap.

"Kami sangat terkejut mendapat berita itu. Kami masih belum menerima mayatnya, namun autopsi akan dijalankan untuk mengetahui punca kematiannya," kata sepupunya, Mohammed.

Semalam, Kementerian Luar Palestin turut meminta siasatan antarabangsa terhadap kematiannya.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Tahanan Palestin, Qadri Abu Bakr memberitahu tentera Israel mendakwa Nassar meninggal dunia akibat serangan strok.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak akan terima versi yang disampaikan Israel. Kami menggesa bedah siasat dilakukan secepat mungkin untuk mengetahui punca sebenar kematiannya," tegasnya. -al-Jazeera