Punca kematian orang asli Bateq masih misteri

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan pencemaran air dan tanah daripada aktiviti perlombongan haram berdekatan Kampung Kuala Koh yang dikaitkan sebagai punca kematian orang asli suku Batek baru-baru ini perlu dipandang serius.

Sehingga kini dakwaan itu terus berlegar dan menjadi tanda tanya apabila punca kematian sesetengah mangsa masih menjadi misteri walaupun bedah siasat sudah dijalankan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya baru-baru ini turut menyatakan 12 kematian orang asli Batek di Kampung Kuala Koh yang meninggal dunia 'secara misteri' antara 2 Mei dan 7 Jun, belum dapat diketahui sehingga keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi diperolehi.

Setakat artikel ini ditulis, hanya tiga daripada 15 kes kematian itu disahkan akibat demam campak.

Berikutan dakwaan pencemaran yang menjadi punca kematian itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menjalankan kajian awal mendapati kebarangkalian terdapat pencemaran air dan tanah di sungai di Kampung Kuala Koh adalah tinggi.

Kajian awal melibatkan pengambilan sample air dan tanah di Sungai Lebir dan beberapa anak sungai yang sering digunakan masyarakat orang asli di Kampung Kuala Koh.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi UMK, Dr Abdul Hafidz Yusoff, sample yang dihantar ke makmal itu memberi petunjuk kemungkinan terdapat bahan toksik berbahaya di dalam enapan sedimen sungai berkenaan, yang dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan haram.

"Kajian kami setakat ini memberi petunjuk awal tentang kemungkinan terdapat bahan toksik berbahaya di dalam enapan sedimen di sungai berhampiran Kampung Kuala Koh dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan haram itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun jenis bahan toksik tersebut tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana ia masih di peringkat kajian," katanya kepada Bernama baru-baru ini, sambil menambah kajian tersebut dijangka siap pada November depan.

Beliau berkata, walaupun laporan yang dikeluarkan media sebelum ini menyatakan tiada unsur kimia berbahaya di dalam air sungai namun tahap pencemaran sungai tidak boleh diukur dengan hanya melihat kepada bahan pencemar di dalam sungai semata-mata.

Dalam laporan awal, keputusan yang dikeluarkan Jabatan Kimia pada 12 Jun lepas mendapati kualiti air di kawasan persampelan iaitu Sungai Lebir mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan Bagi Air Mentah.

Abdul Hafidz berkata, logam toksik berbahaya seperti cadmium, merkuri dan arsenik biasanya mempunyai kepekatan yang rendah di dalam air walaupun sungai itu tercemar.

Merkuri di dalam air sungai yang berasal dari industri contohnya mungkin tidak akan banyak di dalam air tetapi mungkin banyak di dalam enapan sedimen.

"Kajian lanjut sedang dijalankan untuk mengesan kehadiran logam toksik berbahaya itu. Contoh teras sedimen dan zarah terampai di dalam air beberapa sungai di Kampung Kuala Koh diambil dan dikaji bagi menentukan logam toksik berbahaya tersebut," katanya.

Lakukan kajian terperinci

Menurut beliau lagi, merkuri tidak akan banyak di dalam air kerana dibawa bersama tanah terampai dari kawasan lombong dan terenap di dasar sungai.

Merkuri dalam enapan sungai kemudiannya larut ke dalam air sungai.

Beliau menjelaskan, masyarakat orang asli boleh 'terminum’ merkuri sama ada secara terus dengan meminum air sungai ataupun daripada ikan yang dimakan dimana ikan-ikan ini mengandungi merkuri di dalam badan yang diambil melalui proses bioakumulasi.

Kajian yang dilakukan UMK katanya, bukan hanya di dalam air tetapi juga dalam enapan teras sedimen dan tanah terampai dalam air sungai. Kajian pencemaran di dalam teras sedimen ini akan memberikan petunjuk pola pencemaran yang berlaku dalam tempoh 10-15 tahun lalu menggunakan kaedah ‘sediment dating’.

Selain itu kajian ke atas ikan yang diperolehi dari sungai Kuala Koh juga turut dilakukan untuk melihat kepekatan logam berbahaya di dalam badan ikan.

"Saya yakin ini akan memberi keputusan yang lebih tepat berkenaan status pencemaran sungai berbanding dengan hanya melihat kepada air sahaja," katanya.

Abdul Hafidz berkata, tinjauan yang dilakukan di Kampung Kuala Koh mendapati masyarakat orang asli sememangnya tidak mempunyai sumber air bersih dan mereka minum air secara terus daripada sungai.

"Ini tentunya membahayakan nyawa penduduk orang asli sekiranya sungai di kawasan tersebut tercemar," katanya.

Keadaan menjadi bertambah serius apabila kesedaran orang asli suku Batek di Kampung Kuala Koh terhadap keperluan air bersih sangat rendah.

"Memang terdapat inisiatif sebelum ini daripada pihak berwajib menyediakan tangki simpanan untuk air yang ditapis tetapi malangnya telah rosak," katanya.

Bahaya logam aktiviti perlombongan

Menjelaskan tentang kesan aktiviti perlombongan haram mangan seperti yang dilaporkan media sebelum ini di kawasan berdekatan Kampung Kuala Koh, beliau menyatakan kebiasaannya pengusaha lombong akan menggunakan merkuri untuk proses pengekstrakan.

Antara logam berbahaya lain daripada lombong adalah arsenik.

Merkuri boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kecacatan otak dan saraf, kerosakan buah pinggang, kanser dan seterusnya kematian.

Arsenik pula, katanya boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti radang paru-paru, kanser kulit dan sakit jantung.

Terdapat pelbagai kaedah untuk membersihkan air sungai tetapi yang paling utama adalah menentukan sumber pencemaran dahulu.

Menurut Abdul Hafidz, sekiranya benar sumber pencemaran dari lombong, maka lombong itu harus ditutup.

Selain itu, pemantauan berterusan kualiti air menggunakan sistem 'Continues Enviromental Management System (CEMS)' di mana data kualiti air diambil secara 'real time data' pada setiap jam, katanya.

"Data-data ini pula dipantau secara terus menggunakan teknologi internet pelbagai benda di mana data-data parameter kualiti air dipantau oleh pihak berwajib menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar.

"Saya dan rakan-rakan dari Fakulti Biokejuruteraan Dan Teknologi dan Fakulti Sains Bumi sedang membangunkan sistem ini. Sekiranya berjaya masalah pencemaran akan segera diatasi kerana mendapat maklumat yang cepat," katanya.

Kerajaan Negeri Kelantan pada 11 Jun lepas menyita perlombongan bijih mangan di Kampung Kuala Koh dan mengesahkan operasi perlombongan haram itu telah dihentikan.

Nasib masyarakat orang asli

Kerakusan dan keghairahan pemain industri terutama sektor perlombongan yang tidak terkawal pastinya menjejaskan kehidupan masyarakat terutama masyarakat orang asli suku Batek yang sangat bergantung dengan alam semulajadi.

Mereka akan masuk ke dalam hutan sekitar dua atau tiga bulan sekali untuk mencari makanan sebelum pulang ke kampung.

Lazimnya mereka akan membawa pulang hasil-hasil hutan termasuk buah-buahan hutan, madu, haiwan buruan untuk bekalan dan keperluan keluarga.

Bagaimanapun, penerokaan hutan secara besar-besaran termasuk untuk pembukaan ladang sawit di sekitar perkampungan mereka menjejaskan sumber alam sehinggakan ada yang pulang dengan 'tangan kosong'.

Ada yang terpaksa meredah jauh ke dalam hutan belantara yang menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan keluarga untuk jangka masa yang panjang.

Dalam masa yang sama, impak pencemaran lombong ini bukan sahaja pada kualiti air tetapi juga turut memberi kesan kepada udara. Debu-debu yang mengandungi bahan kimia berbahaya juga tentunya memberi kesan kepada kehidupan orang asli.

Pemantauan kualiti udara juga perlu dibuat secara berterusan dalam tempoh 24 jam.

Abdul Hafidz berkata, dalam hal ini, pihak UMK melalui Fakulti Biokejuruteraan Teknologi bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah mencipta alat sensor udara yang boleh dipantau secara terus menggunakan aplikasi di dalam telefon pintar untuk dipasang di Kampung Kuala Koh.

"Selain itu pendidikan secara berterusan harus diberikan kepada masyarakat orang asli. Kesedaran kesihatan mereka masih rendah, apabila nampak doktor mereka akan lari ke dalam hutan apatah lagi untuk diberikan vaksin,“ katanya. - Bernama