Kontraktor buat kerja walau belum dibayar 1 sen

Mohd Izhar (tiga,kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah Pengangkutan Bandar MBJB, Mohd Rafi Jasman (empat,kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk di sini, hari ini.
Mohd Izhar (tiga,kanan) bersama Ketua Penolong Pengarah Pengangkutan Bandar MBJB, Mohd Rafi Jasman (empat,kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk di sini, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Izhar Ahmad akhirnya campur tangan bagi menyelesaikan isu 14 buah lif di Pangsapuri Taman Larkin Idaman Plot C yang lewat disiapkan daripada jadual.

Beliau mengadakan pertemuan lebih sejam dengan semua pihak termasuk kontraktor, penduduk, pengurusan pangsapuri dan Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi mencapai kata sepakat.

Dalam pertemuan itu, beliau mendengar semua permasalahan yang menyebabkan kerja menaik taraf itu masih belum disiapkan sebelum akhirnya bertegas supaya pihak berkaitan segera menyelesaikan isu dibangkitkan.

"Masalah di sini ialah kontraktor nak buat kerja tapi tak ada duit (tidak dibayar). Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memberi jaminan dalam masa terdekat, peluang agak cerah untuk mendapatkan peruntukan.

"Peruntukan ini dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukan peruntukan MBJB sendiri. Bajet sudah diluluskan cuma ada isu perolehan dan ia sudah selesai," katanya ketika ditemui di Pangsapuri Taman Larkin Idaman Plot C di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang bayaran dibuat kepada kontraktor namun kerja menaiktaraf tetap dijalankan.

"Kontraktor masih belum menerima bayaran 1 sen pun. Walaupun tidak dibayar lagi, mereka tetap meneruskan kerja," katanya.

Pada 25 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan aduan penduduk pangsapuri 12 tingkat itu yang tidak puas hati dengan kegagalan pihak kontraktor menyiapkan 14 buah lif di tujuh blok seperti dijadualkan.

Artikel Berkaitan:

Penduduk kini terpaksa bergantung kepada sebuah lif lama yang sering rosak hingga mengganggu aktiviti seharian terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) kerana terpaksa menggunakan tangga.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada 2 Julai lalu berkata, kerja menaik taraf lif di pangsapuri itu dijangka siap hujung tahun ini.

Pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan KPKT supaya kontraktor dapat menyiapkan keseluruhan baki tujuh buah lif yang masih tergendala.