Pusat proses makanan laut disyaki curi elektrik

Mohd Elmi (dua dari kanan) mengetuai serbuan di sebuah pusat memproses makanan laut di Endau hari ini kerana dipercayai mencuri bekalan elektrik sehingga menyebabkan kerugian kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dianggarkan kira-kira setengah juta ringgit. - Foto Bernama
A
A

MERSING - Sebuah pusat pemprosesan makanan laut di Endau dekat sini diserbu hari ini kerana dipercayai mencuri elektrik sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan kira-kira setengah juta ringgit kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Mohd Elmi Anas berkata, semasa serbuan itu pihaknya memeriksa dan mendapati premis berkenaan melakukan pengusikan pada meter elektrik sehingga menyebabkan ia gagal merekod bacaan dengan sempurna.

“Kita mengesyaki pusat ini menjalankan aktiviti menggunakan elektrik secara curang sejak 2016 dan kita anggarkan setengah juta ringgit kerugian di pihak TNB.

“Pada masa ini, kita sedang membuat pemeriksaan dan sekiranya terdapat bukti-bukti yang boleh dikaitkan dengan kecurian elektrik, kita akan mendakwa syarikat ini di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya selepas serbuan di pusat pemprosesan berkenaan di sini petang ini.

Mohd Elmi berkata, siasatan lanjut akan dijalankan oleh suruhanjaya berkenaan dan jika didapati bersalah pemilik premis itu boleh didakwa di bawah Seksyen 37(1), Seksyen 37 (3) dan Seksyen 37 (14) di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun untuk kesalahan pertama sementara bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Serbuan yang bermula pukul 11 pagi tadi sehingga 5 petang, melibatkan kira-kira 20 pegawai ST dan TNB.

Sementara itu, Mohd Elmi berkata, kes kecurian elektrik sering berlaku dan ST telah banyak membuat serbuan setelah mendapat aduan dari pihak utiliti.

“Pada tahun ini sahaja sebanyak 17 serbuan dilakukan dan sembilan kertas siasatan dibuka untuk pendakwaan.

"Secara keseluruhan sejak tahun 2015, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka dan dua daripadanya di Johor,” katanya.

Beliau menasihati pengusaha atau industri supaya tidak sama sekali mengusik meter utiliti.

“Sekiranya hendak mengurangkan penggunaan elektrik, gunakanlah konsep kecekapan tenaga dengan menggunakan mesin-mesin yang cekap tenaga seperti lampu LED dan sebagainya,” katanya. - Bernama