Cari abang hilang, hanya jumpa tulang

No Image Caption
A
A
A

MUKAH - Luluh hati seorang adik apabila usaha mencari abangnya yang hilang sejak dua minggu lalu berakhir dengan penemuan tulang manusia dipercayai milik abangnya di kawasan pondok di Hutan Ulu Sungai Ubong Tellian, di sini semalam.

Memetik laporan Harian Metro, pesara berusia 59 tahun berkenaan menemui tulang terbabit yang berselerak, kira-kira jam 8.30 pagi ketika keluar mencari abangnya bersama ahli keluarga lain.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau, berkata sebaik tiba di pondok didiami abangnya yang bekerja sebagai pemotong pokok sagu, pesara itu menemui beberapa tulang dipercayai tulang manusia sebelum melaporkannya kepada polis.

“Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menjumpai beberapa tulang dipercayai tulang dan tengkorak manusia dalam keadaan berselerak di kawasan kira-kira 200 meter dari pondok itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis turut menjumpai sehelai tuala, selimut dan seluar dalam termasuk beg galas mengandungi kad pengenalan milik seorang lelaki berusia 76 tahun.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari Jalan Mukah-Oya juga mendapati tiada tanda atau kesan pergelutan. Tulang dan barang yang ditemui sudah dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.

“Proses pengecaman tidak dapat dilakukan kerana hanya beberapa tulang sahaja berjaya ditemui tetapi ujian DNA sudah dipohon bagi mengesahkan identiti sebenar mangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan: