PLUS cadang pasang kamera kelajuan purata di jambatan Pulau Pinang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGE TOWN - PLUS Malaysia Bhd, pengendali Jambatan Pulau Pinang, meninjau untuk memasang kamera kelajuan purata di jambatan itu sebagai langkah penguatkuasaan tambahan untuk menghalang pemanduan melebihi had laju semasa menyeberangi jambatan itu.

Ketua Pegawai Operasinya Zakaria Ahmad Zabidi berkata syarikat kini bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), untuk memasang kamera berkenaan yang akan merakam kenderaan yang melebihi had laju serta maklumat pendaftaran kenderaan yang masuk dan keluar dari jambatan.

“Kelajuan purata kenderaan akan dikira untuk menentukan sama ada dipandu melebihi kelajuan atau tidak dan ini merupakan antara strategi penguatkuasaan,” katanya semasa ditemui di luar acara Persidangan Konsesi Lebuh raya 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata PLUS juga kini menunggu hasil audit keselamatan jalan raya yang dijalankan mengenai jambatan itu bagi menentukan langkah-langkah yang akan diambil bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan jambatan berkenaan.

“Walaupun kami telah mematuhi semua standard kejuruteraan bagi jambatan, kami juga menjalankan audit keselamatan jalan raya kami sendiri. Kami akan melihat daripada audit dan kemudiannya akan bertindak dengan sewajarnya jika terdapat keperluan (untuk menambah langkah keselamatan),” katanya.

Pengguna jambatan bimbang terhadap keselamatan di jambatan berikutan kejadian sebuah kereta yang dikatakan dipandu laju berlanggar dengan kenderaan lain sehingga terhumban ke laut pada Februari lepas yang menyebabkan seorang pemandu maut.

Zakaria berkata PLUS sentiasa mementingkan keselamatan dan melalui penekanan ini, hanya 2.4 peratus daripada 13,000 kemalangan yang dicatatkan di seluruh negara tahun lepas berlaku di lebuh raya konsesinya.

“Kami berbangga dengan langkah keselamatan yang kami laksanakan dan juga berbangga kerana Lebuhraya PLUS sebagai antara lebuh raya paling selamat di negara ini. Kami menumpukan tiga elemen secara meluas yang kami kenali sebagai ‘3E’, iaitu ‘enforcement’ (penguatkuasaan), ‘engineering’ (kejuruteraan) dan ‘education’ (pendidikan),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Elemen ini diguna pakai melaui kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa seperti JPJ dan polis, penggunaan teknologi baharu untuk penyelenggaraan lebuh raya dan kemudahan serta kempen kesedaran keselamatan yang selalu diadakan, katanya. - Bernama