Gesaan rujuk ke jawatankuasa Parlimen untuk alih isu sebenar

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau tidak mempunyai masalah dengan usul pembangkang untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Katanya, pembangkang sudah pastinya memainkan isu itu berbanding menekankan pelaksanaan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memastikan pelanggaran peraturan mengenai bayaran balik GST, tidak berulang.

"Memanglah mereka mahu memainkan isu ini, itu kita sedia layan dan lawan. Sekiranya sesuatu peruntukan diberikan untuk satu tujuan, ia mesti digunakan untuk tujuan itu, ia tidak boleh dialihkan untuk tujuan lain, kalau dialih untuk tujuan lain, ia dianggap satu kesalahan...maka boleh diambil tindakan.

"Saya hanya nak tumpukan dalam laporan ke atas apa yang dinyatakan dalam laporan PAC di mana ada rumusan dan syor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan menteri bersama Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) di sini, hari ini.

Hasil siasatan PAC berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah Kementerian Kewangan, mendapati tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST.

Laporan berkenaan juga mendapati hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

PAC memulakan prosiding pada 12 September tahun lepas berikutan kenyataan Guan Eng di Dewan Rakyat pada Ogos 2018 bahawa tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion ‘dirompak’ kerajaan terdahulu.

Berikutan laporan PAC itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat semalam menggesa Guan Eng dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas mendakwa beliau membuat kenyataan yang mengelirukan dewan.

Artikel Berkaitan:

Guan Eng berkata pembangkang juga ingin mengalih perhatian rakyat daripada kes perbicaraan yang dihadapi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tentangan beberapa pimpinan UMNO terhadap lantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional. - Bernama