Polis tahan lelaki bawa 660kg daun ketum ke sempadan Thailand

Mohd Rozi (dua dari kiri) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas pasukan perondanya di Jalan Derang, Pokok Sena semalam.
Mohd Rozi (dua dari kiri) menunjukkan daun ketum yang berjaya dirampas pasukan perondanya di Jalan Derang, Pokok Sena semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Hanya kerana upah RM700, dua lelaki sanggup membawa 660 kilogram (kg) daun ketum yang dipercayai mahu dihantar ke sempadan Thailand.

Bagaimanapun tindakan mereka gagal apabila dipintas sepasukan polis bersama ketum dengan nilai keseluruhan RM19,800 di Jalan Derang, Pokok Sena, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Kominisioner Mohd Rozi Jidin berkata, hasil siasatan awal mendapati kedua-duanya menerima upah RM700 untuk melakukan pekerjaan tersebut yang dipercayai didalangi sindiket kerana nilai harga semasa di negara jiran adalah dua kali ganda berbanding RM30 di negara ini bagi sekilogram.

Menurutnya, kejayaan tangkapan ini adalah berdasarkan maklumat orang ramai yang mengesyaki ada berlakunya pengedaran dadah.

"Kita menghantar dua kereta peronda dan berjaya memintas dua jenis kenderaan iaitu sebuah Pajero dan satu kereta.

"Hasil pemeriksaan, kita menjumpai 33 bungkus daun ketum dengan berat 300 kg dalam kereta Pajero manakala satu lagi kereta menemui 46 bungkus daun ketum dengan berat 360 kg.

"Jumlah keseluruhan daun ketum itu sebanyak 660kg. Ketum tersebut dipercayai dibawa dari Naka," katanya pada sidang media di IPD Kota Setar hari ini.

Mohd Rozi berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam kes berasingan, empat lelaki ditahan pada jam 10 pagi tadi selepas dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel di sekitar Bandaraya Alor Setar.

Menurutnya, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah sewa dan menjumpai kabel-kabel yang telah dipotong dianggarkan bernilai RM20,000 milik sebuah syarikat telekomunikasi

"Suspek berusia 30-an ditahan di sebuah rumah Sewa di Lorong Sekolah Lebuhraya Darul Aman, Alor Setar.

"Kes ini disiasat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya lagi.