PAC sahkan wang cukai diguna untuk tujuan lain: Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan bahawa kerajaan terdahulu telah menggunakan kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi tujuan lain, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata ini telah menyebabkan kekurangan dana sebanyak RM19.25 bilion dalam Tabung Bayaran Balik GST kerana setakat 31 Mei, 2018, tabung itu hanya mempunyai RM150 juta sahaja.

“Seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Akauntan Negara dalam laporan PAC, RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk membuat pembayaran balik GST telah dibelanjakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

“Sedangkan Jabatan Kastam Malaysia mengakui bahawa RM19.4 bilion masih lagi tidak dibayar akibat dana yang tidak mencukupi dalam Tabung Bayaran Balik GST,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga memberi jaminan Kementerian Kewangan tidak akan mengulangi tindakan sedemikian.
Artikel Berkaitan:


“Kementerian Kewangan akan menghormati kedua-dua syor utama dalam laporan itu bagi memastikan segala pelanggaran undang-undang dan ketidakpatuhan peraturan kewangan mengenai wang bayaran balik GST oleh kerajaan terdahulu tidak akan berulang lagi,” katanya.

PAC mengesyorkan pentadbiran kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh undang-undang negara khasnya dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan bertanggungjawab.

Jawatankuasa itu juga mengesyorkan pegawai kerajaan yang telah diamanahkan perlu sentiasa menasihati pentadbiran kerajaan tentang undang-undang, prosedur dan maklumat perangkaan tanpa perlu ada rasa gentar atau pilih kasih terutamanya dalam mengamalkan perancangan aliran tunai dan disiplin kewangan yang lebih bertanggungjawab. - Bernama