Kenapa perlu bermasam muka bila dah tak bersama: Vanidah Imran

Vanidah Imran
Vanidah Imran
A
A
A

BIARPUN kini bergelar ibu tunggal dan menguruskan segalanya sendirian, pelakon Vanidah Imran mengakui kehidupannya kini berlangsung seperti biasa.

Meski apa pun yang dilaluinya, Vanidah atau lebih mesra disapa sebagai Vee tetap meletakkan keperluan dan kepentingan anak-anak sebagai keutamaan.

Malah, pelakon yang dikenali menerusi filem Perempuan Melayu Terakhir ini sanggup menangguhkan seketika pengajiannya di peringkat sarjana dalam bidang Seni Persembahan Drama di Universiti Malaya baru-baru ini untuk memberikan tumpuan kepada anak sulungnya yang baharu saja memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Saya menangguhkan pengajian selama dua semester sebelum ni kerana perlu memberikan tumpuan kepada anak sulung yang mengambil SPM dan kemudian persiapannya menyambung pengajian di IPT.

“Bagi saya anak-anak perlu didahulukan melebihi perkara-perkara lain. Apatah lagi apabila ia melibatkan pelajaran dan masa depan.

“Jadi saya kena uruskan mereka dahulu dan kemudian barulah fikirkan tentang diri sendiri. Memang pengajian saya juga penting namun masa depan mereka lebih utama,” akuinya.

No Image Caption

Ditanya bagaimana dia menguruskan kehidupan bersama anak-anak selepas perpisahannya dengan bekas suami, Rashidi Ishak, pada Ogos tahun lalu, kata Vee, semuanya dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Anak-anak dah besar, tak adalah rasa susah sangat nak uruskan. Kalau mereka masih kecil, mungkin juga banyak benda yang perlu diuruskan.

“Namun dalam keadaan sekarang, mereka sudah boleh berdikari dan situasi menjadi lebih mudah,” kata ibu kepada Mikhail Aimran, 18 dan Maryam Rashika, 15.

Bagaimanapun, Vee, 46, yang ditemui pada majlis pelancaran kempen I Love Malaysia di PNB Perdana Hotel On The Park, Kuala Lumpur pada Selasa, berkata, September ini dia akan kembali menyambung pengajiaan dan memberikan tumpuan kepada penulisan tesis yang tertangguh sebelum ini.

“Alhamdulillah selain hal anak, beberapa komitmen shooting telah pun selesai dan sudah tiba masa saya kembali menumpukan perhatian kepada pengajian saya.

“Supervisor pun dah cakap tak boleh tangguh lagi dan kena habiskan pengajian mengikut masa yang sepatutnya,” kata Vanidah.

Mengulas tentang penglibatannya bersama bekas suami, Rashidi Ishak, menerusi filem baharu lakonan mereka yang kini sedang rancak menjalani penggambaran, Vee, tetap positif dan menganggap dia sebagai profesionalism dalam kerja.

“OK saja kerana itu adalah kerja. Kena profesional dan tak perlu nak campur adukkan soal peribadi dengan kerja.

“Kenapa perlu bermasam muka bila dah tak bersama? Kami tak ada masalah untuk bekerjasama kerana kita tidak bergaduh atau cuba mengelakkan diri. Semuanya berjalan seperti biasa,” katanya yang menerima tawaran tersebut selepas bercerai dengan bekas suami.

Vanidah dan Rashidi mendirikan rumah tangga pada Oktober 2000 sebelum bercerai pada Ogos 2018 dan membawa haluan masing-masing.