Jangan guna gelaran Permaisuri Kelantan tanpa pengumuman rasmi

A
A

1.Jangan guna gelaran Permaisuri Kelantan tanpa pengumuman rasmi

Selepas hampir lapan bulan, Istana Kelantan akhirnya memecah kebisuan berhubung khabar angin melibatkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Menerusi satu kenyataan awal pagi tadi, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, tiada sesiapa boleh digelar sebagai Permaisuri Kelantan atau Raja Perempuan Kelantan tanpa pengumuman rasmi Istana Kelantan.

Beliau menegaskan hanya pengumuman rasmi daripada Istana Kelantan yang boleh diambil kira sebagai berita yang tepat dan boleh diterima pakai oleh rakyat dan pengamal media.

Semalam sebuah portal berita melaporkan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko, 26, sah diceraikan talak tiga oleh Sultan Muhammad V.

2.Najib bagi alasan belanja RM3.3juta sehari di butik barang kemas mewahBekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mempertahankan perbelanjaan RM3.36 juta daripada dua kad kredit miliknya di sebuah butik barang kemas mewah, di Itali pada 2014.

Menurut Najib perbelanjaan itu untuk membeli cenderahati buat keluarga diraja dari sebuah negara.

Beliau menjelaskan keluarga diraja negara yang tidak dinamakan itu telah menemani beliau dan keluarganya pada lawatan ke Itali pada waktu itu.

Najib yang kini pengerusi Lembaga Penasihat BN bagaimanapun menegaskan kad kredit itu didaftar atas namanya dan bukan di bawah SRC International Sdn Bhd.

3.Pas tolak lamaran PH, setia dengan UMNO

Walaupun pelawaan demi pelawaan dibuat oleh Pakatan Harapan (PH), Pas tetap berpendirian menolak untuk bersama empat parti komponen dalam kerajaan itu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, Pas tidak akan bersama PH, sebaliknya akan terus bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menjelaskan, Pas pada masa ini akan memberikan fokus dan tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan agenda perpaduan ummah bersama UMNO di samping tidak meninggalkan parti-parti komponen dalam BN serta rakan-rakan BN yang mewakili pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, PH sedia membuka pintu kerjasama kepada Pas untuk menjadi sebahagian daripada komponen mereka demi penyatuan umat Islam di negara ini.

4.Lebih 54,000 jemaah haji sudah berada di Tanah Suci

Seramai 54,453 jemaah haji dari Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia sudah berada di tanah suci menerusi inisiatif memuktamadkan prosedur kastam dan pengeluaran visa di negara asal jemaah haji berkenaan, lapor Saudi Press Agency.

Agensi berita itu melaporkan bahawa jemaah haji berkenaan tiba antara 4 Julai hingga 14 Julai menerusi 135 penerbangan.

Memetik ketua pengarah pasport sebagai berkata 20,261 jemaah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammed Abdulaziz di Madinah menerima 34,192 jemaah.

Ahad lepas Bernama melaporkan bahawa sejumlah 9,363 jemaah haji Malaysia telahpun berada di Mekah dan di Madinah sehingga Sabtu (13 Julai).

5.Mesej di Twitter, Trump nafi bersifat perkauman

Presiden Donald Trump terus menyelar empat ahli kongres wanita minoriti Amerika Syarikat (AS) semalam dan menafikan komen beliau terhadap mereka bersifat perkauman.

Ia sekali gus mencetus kemarahan Demokrat yang bertindak menghentam beliau di Dewan Perwakilan Rakyat.

Ketika bercakap di Rumah Putih, Trump berkata mereka yang disifatkannya sebagai terlalu kritikal terhadap AS sepatutnya keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat susulan hantaran Twitter beliau Ahad lalu yang menyebut empat wakil berhaluan kiri yang digelar sebagai ‘The Squad’ di Kongres itu sepatutnya kembali saja ke tempat asal mereka yang penuh dengan jenayah dan kekacauan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia