Rampasan dadah RM5.2 juta di Kota Setar

Mohd Rozi
Mohd Rozi
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kota Setar merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM5.2 juta sejak 1 Januari hingga 15 Julai 2019 hasil tangkapan ke atas 1,491 orang di seluruh daerah ini termasuk Pokok Sena dan Kuala Kedah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, 433 orang dari jumlah itu adalah pengedar dadah dan bagi kes Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya pula sebanyak 106 kes disiasat yang melibatkan 153 tangkapan.

Menurutnya, dari jumlah tersebut seramai enam orang telah diletakkan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

"Dadah yang dirampas melibatkan pelbagai jenis antaranya heroin, ganja, syabu, pil ekstasi, eramin, dan air ketum.

"Kuala Kedah salah satu lokasi panas yang berada di bawah pemerhatian kita dan dalam tempoh terdekat kami juga akan ke kawasan tersebut dalam memastikan Kuala Kedah bebas dari aktiviti gejala dadah," katanya pada sidang media di IPD Kota Setar, hari ini.

Mohd Rozi berkata, semua tangkapan berusia seawal 19 tahun sehingga 60 tahun.

Terdahulu, Kuala Kedah termasuk Langkawi dan Felda Lubuk Merbau di Kedah antara tiga dari 12 kawasan melibatkan tujuh negeri yang berada di bawah projek rintis Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang berkata usaha itu bagi menangani masalah penagihan dadah dan pelancongan sosial.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, projek yang dijalankan bakal dijadikan model untuk diperluaskan di seluruh negara sejajar dengan matlamat Dasar Dadah Negara.