Melaka rancang guna semula bas elektrik

Sofi
Sofi
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka merancang memperkenalkan kembali kemudahan bas elektrik di negeri ini bagi memperkasa sektor pengangkutan awam bertepatan sebagai negeri bandar pintar 2020 dan teknologi hijau.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Sofi Wahab berkata, kerajaan negeri juga sedang melihat untuk menggunakan konsep percuma atau bas henti-henti bagi kemudahan bas elektrik yang dirancang beroperasi dalam tempoh satu atau dua tahun ini.

Beliau berkata, Melaka pernah memiliki dua bas elektrik ketika pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah pengurusan anak syarikat negeri, Panorama Melaka Sdn Bhd, namun tidak lagi boleh digunakan.

"Bas elektrik yang digunakan Panorama itu hanya dapat digunakan dalam tempoh pendek dan tidak dapat digunakan lagi disebabkan penyelenggaraan yang tinggi.

"Namun setakat ini belum ada syarikat yang dapat membaiki bas berkenaan dan kita juga nak melihat kontrak di antara pihak pembekal sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di luar dewan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri hari ini.

Mohd Sofi (Amanah-Durian Tunggal) berkata, pihaknya juga belum membuat sebarang keputusan untuk memanjangkan isu bas elektrik yang tidak boleh digunakan bagi disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ataupun Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT) berkaitan kontrak di antara kerajaan terdahulu dengan pihak pembekal.

Terdahulu ketika persidangan itu, Mohd Sofi berkata, seramai 93,716 orang telah menaiki bas percuma yang dilancarkan kerajaan negeri pada Jun tahun lalu dan daripada jumlah itu 66,036 adalah penumpang warganegara manakala selebihnya warga asing yang dikenakan caj bayaran tambang.

Menurutnya, kerajaan negeri juga membelanjakan kira-kira RM1.3 juta setahun termasuk kos penyelenggaraan tiga buah bas percuma terbabit selain perancangan untuk memperluaskan kemudahan itu ke daerah lain.

Artikel Berkaitan:

"Kita bercadang untuk menambah bas dan memperluaskan ke laluan lain seperti Jasin dan Masjid Tanah namun ianya bergantung kepada kewangan negeri," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ghaffar Atan (Barisan Nasional-Asahan).