Dua syarikat GLC Terengganu tutup

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu telah menamatkan operasi dua buah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd pada tahun ini, manakala lapan lagi dalam proses pembatalan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dua syarikat yang tamat operasi itu ialah Permint Bina Bahan Sdn Bhd yang merupakan pengeluar bata merah dan TI Food Ventures Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan outlet restoran makanan segera Chicken Cottage di Kuala Terengganu.

Menurutnya, terdapat 32 kakitangan yang terlibat dalam penutupan dua GLC itu iaitu 17 orang dari Permint Bina Bahan Sdn Bhd dan 15 orang dari TI Food Ventures Sdn Bhd, manakala TI Global Food Management Limited akan ditutup pada 31 Julai ini, melibatkan enam pekerja.

“Kerajaan telah membayar RM75,989 bagi kakitangan yang telah ditamatkan perkhidmatan pada Februari lalu, iaitu lima pekerja tetap menerima bayaran berjumlah RM40,450 manakala 12 pekerja sementara dibayar RM35,539.

“Kesemua 15 pekerja TI Food Ventures Sdn Bhd pula, telah ditawarkan pekerjaan baharu di beberapa syarikat GLC lain seperti Terengganu Inc, TI Properties Sdn Bhd, YTYI Sdn Bhd (Permai Hotel dan TD1303,” katanya ketika menjawab soalan lisan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (BN-Kuala Besut) tentang GLC yang telah ditutup dan nasib pekerja terlibat.

Jelasnya, 39 syarikat lagi yang ‘dormant’ dan tidak lagi beroperasi sedang dalam proses penilaian, sama ada 'winding up' (gulung tikar) atau digunakan sebagai Special Purpose Vehicle (SPV) bagi perniagaan baharu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, pihaknya masih berusaha untuk berunding dengan Kerajaan Pusat bagi menambah jumlah stesen bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada enam kepada sekurang-kurangnya lapan stesen.

“Laluannya masih belum dimuktamadkan dan pelancaran ECRL akan dibuat pada 26 Julai ini di Dungun oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. Sebelum pelancaran, saya ada perbincangan dengan CEO MRL (Datuk Seri Darwis Abdul Razak) untuk bincang balik jajaran, stesen dan pelbagai perkara berbangkit.

Artikel Berkaitan:

“Antara permintaan yang dibuat adalah supaya jajaran yang dicadangkan juga sesuai dengan perancangan kerajaan negeri dan ECERCDC, ini melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat supaya apa jua laluan dan stesen yang dibuat, ada tujuan dan keperluannya.

“Kita tak mahu nak jimatkan kos, buat tapi masuk ke dalam hutan. Siapa yang nak guna? Ini mesej yang kita nak sampaikan supaya mereka faham dan kita ada rancangan tempatan di setiap daerah yang ada kawasan penempatan dan pertanian,” katanya.