Tak sangka mekanik larikan kereta

Kenderaan yang dilesapkan mekanik berkenaan dan Nazlysham (kanan) menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan kenderaan terbabit.
Kenderaan yang dilesapkan mekanik berkenaan dan Nazlysham (kanan) menunjukkan laporan polis mengenai kehilangan kenderaan terbabit.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang pembantu pejabat tidak menyangka mekanik yang diupah untuk baik pulih dan menukar enjin sebuah kereta terpakai yang baru dibelinya kira-kira dua minggu lalu sanggup 'melesapkan' kenderaan tersebut.

Nazlysham Saroni, 46, berkata, kali terakhir mereka bertemu kira-kira jam 11.30 malam di rumah lelaki itu di Bukit Badong, 7 Julai lalu.

Menurutnya, dalam pertemuan itu, dia sempat menyerahkan wang kira-kira RM400 dan geran kereta jenis Daihatsu Charade CX G11 untuk menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

"Mekanik terbabit berjanji selesaikan perkara ini dalam tempoh dua hari, namun sehingga hari ini dia terus menghilangkan diri.

"Saya dah hubunginya beberapa kali, namun panggilannya tidak berangkat," katanya di sini hari ini.

Nazlysham berkata, dia juga telah beberapa kali ke rumah mekanik terbabit, namun isterinya memberitahu suaminya itu sudah lama tidak pulang ke rumah.

"Ahli keluarganya memberitahu kemungkinan dia melarikan diri ke Sungai Panjang dan terlibat dalam kes melarikan beberapa kenderaan lain sebelum ini," katanya.

Menurut Nazlysham, dia membeli kereta terpakai dari seorang rakannya dengan harga RM800, namun belum sempat menukar nama kenderaan terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Saya bimbang jika kenderaan ini disalah guna memberi kesan kepada penama (rakan) yang telah pun menjual kenderaan ini," katanya.

Katanya, dia membuat laporan polis mengenai kehilangan kereta tersebut pada jam 3.24 petang di Balai Polis Kuala Selangor pada Jumaat lalu.