Pas tiada selera nak sertai PH, kata Hadi

Abdul Hadi
A
A

KUALA LUMPUR - Pas tiada selera untuk menerima pelawaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) agar parti Islam itu menyertai mereka.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jawapan ringkas itu ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Tiada selera, cukup itu sahaja,” katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sebelum ini, Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mempelawa Pas untuk mempertimbangkan tawaran menyertai PH.

Husam berkata, sudah tiba masanya untuk Pas dan pemimpinnya berfikir jika tidak mahu perjuangan mereka selama lebih 60 tahun untuk menumbangkan kerajaan UMNO sia-sia.

Manakala, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan PH sedia membuka pintu kepada Pas untuk menjadi sebahagian daripada komponen mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Husam tawar Pas sertai PH

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diminta mengulas tawaran PH tersebut berkata, beliau percaya Pas sudah mempunyai pilihan iaitu UMNO.

"Kita dah ada kerjasama konkrit dengan Pas dan kita dalam proses untuk memeterai piagam. Saya yakin Pas dan UMNO akan jadi landasan untuk pilihan utama umat Islam.

"Jadi kalau dah ada begini, bagaimana nak sertai orang lain? UMNO dah buat pilihan iaitu Pas dan saya percaya Pas pun dah buat pilihan iaitu UMNO," katanya.