LPT2: Kerajaan masih hutang Terengganu RM1.43 bilion

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Persekutuan masih berhutang dengan Terengganu sebanyak RM1.43 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah sebenar yang dibiayai oleh Kerajaan Terengganu bagi pembinaan lebuh raya itu ialah sebanyak RM1.85 bilion, manakala jumlah yang telah disalurkan kepada kerajaan negeri sehingga Jun 2019 berjumlah RM418.5 juta.

“Ia melalui projek naik taraf Jalan Marang ke Awana Kijal bernilai RM118.5 juta, bayaran pendahuluan yang tidak dibayar balik berjumlah RM200 juta dan pembinaan rumah mampu milik bernilai RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) tentang jumlah hutang yang masih belum dijelaskan Kerajaan Persekutuan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di sini hari ini.

Samsuri berkata, selain itu, terdapat bayaran balik yang masih belum dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri iaitu Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) berjumlah RM220 juta.

“Setiap tahun kerajaan negeri menerima bayaran balik DKKP berjumlah RM220 juta bermula 2011 sehingga 2020. Bagaimanapun sehingga kini, kerajaan negeri masih belum terima bayaran tersebut yang hanya berbaki untuk tahun 2019 dan 2020.

“Untuk tahun 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyatakan penangguhan bayaran tersebut melalui surat yang bertarikh 28 Februari 2019,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jumlah wang diterima oleh Kerajaan Terengganu berdasarkan peruntukan perlembagaan daripada Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM295 juta bagi tahun 2018 dan RM180 juta sehingga Jun 2019.

Artikel Berkaitan:

Manakala jumlah pinjaman kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan sehingga 30 Jun 2019 adalah RM481 juta, termasuk tunggakan Rancangan Bekalan Air sebanyak RM171 juta.