DOF tak pernah keluar lesen laut dalam kepada warga asing

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perikanan (DOF) tidak pernah mengeluarkan lesen laut dalam untuk diberikan, disewa atau dipajak kepada warga asing, kata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Mengulas isu pencerobohan vesel nelayan asing ke perairan negara, MOA dalam kenyataan hari ini berkata DOF hanya mengeluarkan lesen kepada individu atau syarikat tempatan sahaja.

"Bermula September 2017, DOF melalui Jawatankuasa Penilaian Permit Laut Dalam bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan permit laut dalam untuk vesel perolehan dari luar negara (terpakai atau bina baru), kecuali hanya bina baru dalam negara melalui pemodenan vesel," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nelayan Pantai Timur himpun depan Parlimen

MOA berkata, dianggarkan negara hilang sehingga RM6 bilion hasil laut setiap tahun akibat aktiviti pencerobohan nelayan asing dengan RM1.8 bilion adalah hasil laut dalam dan RM4.2 bilion laut pantai.

Bagi memastikan kedaulatan makanan negara dimartabatkan, tindakan tegas telah diambil dengan melaksanakan pemutihan vesel laut dalam bagi memastikan bot yang diberikan lesen adalah mematuhi undang-undang, syarat dan dasar pelesenan yang ditetapkan serta diberikan kepada pengusaha tulen, kata MOA.

Untuk itu, MOA berkata, DOF sedang mengemaskini Akta Perikanan berhubung tafsiran bagi memastikan setiap kes dapat disabitkan kesalahan.

"Sejak tahun 2015, sebanyak 172 vesel laut dalam dari 353 vesel telah dibatalkan lesen, di samping pembatalan permit yang tidak memenuhi syarat pelesenan," katanya.

Artikel Berkaitan:

MOA berkata, syarat pembaharuan lesen akan diperketatkan dengan penggunaan Kad Laporan bagi vesel laut dalam untuk memberi wajaran serta penalti ke atas prestasi pendaratan ikan, keaktifan alat MTU-VMS, ciri keaslian vesel dan juga bilangan kesalahan yang dilakukan.

MOA berkata kerjasama serantau untuk membanteras penangkapan ikan secara haram (RPOA-IUU) juga diperkukuhkan melalui platfom hubungan dua hala dengan Vietnam dan Thailand.

Menurutnya, Ops Naga yang dilaksanakan Jawatankuasa Antara Kementerian melibatkan MOA, Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan bermula 26 April lepas telah berjaya menahan sebanyak 52 vesel termasuk nelayan asing dalam tempoh tiga bulan.

Untuk rekod, sebanyak 428 kes tangkapan vesel Vietnam telah dilaksanakan sejak tahun 2015 hingga kini. - Bernama