Pengarah urusan mengaku tidak bersalah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah urusan syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah dengan memindah milik cap dagangan sebuah syarikat, tahun lepas.

Tertuduh Low Cheng Teik, 66, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M. Edwin Paramjothy.

Cheng Teik didakwa sebagai pengarah urusan yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu cap dagangan SNE telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya telah menyalahgunakan harta dengan memindah milik cap dagangan Syarikat SNE Marketing Sdn Bhd kepada Syarikat SNE Global Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Shamelin Business Centre, Taman Shamelin Perkasa, Cheras di sini pada 28 Mei 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Khairiyah Samsudin tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, namun mencadangkan RM50,000 sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh memohon jaminan minimum dengan alasan dia sedang menjalani rawatan ketumbuhan otak serta sista (cyst) di bahagian prostat.

Hakim membenarkan tertuduh dilepas dengan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan 2 September ditetapkan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: