Bomba selamatkan penyu tersangkut

A
A

PORT DICKSON - Seekor penyu Karah seberat 150 kilogram yang tersangkut di penghadang sampah Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar di sini, berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Port Dickson, S Maniam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.46 pagi dan sampai ke lokasi tiga minit kemudian.

Seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat, khidmat khas menyelamatkan penyu yang tersangkut di besi penghadang sampah.

“Sebaik sampai ke lokasi kita mendapati ada seekor penyu tersangkut di penghadang sampah saliran keluar masuk air stesen janakuasa ini.

“Operasi menyelamat menggunakan peralatan tali, tali dan beg plastik bagi mengangkat penyu tersebut,” katanya.

Tambahnya, operasi menyelamat dan membawa keluar penyu tersebut tamat pada jam 1.33 petang.

Penyu tersebut kemudiannya dilepaskan semula ke laut dalam keadaan selamat.