GST: Kementerian Kewangan hormati syor PAC – Guan Eng

Lim Guan Eng - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan menghormati dua syor utama Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memastikan pelanggaran undang-undang dan ketidakpatuhan peraturan kewangan mengenai bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak berulang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berhubung laporan PAC semalam berkata, laporan itu mengesahkan bahawa terdapat beberapa ketidakpatuhan dalam bayaran balik GST oleh kerajaan terdahulu.

Menurutnya, Akta GST telah dilanggar seperti yang dimaklumkan oleh Peguam Negara kepada PAC yang mana kutipan cukai itu perlu dimasukkan ke dalam Akaun Bayaran Balik GST bagi membolehkan bayaran dibuat dalam masa 14 hari bekerja.

Sebaliknya, kutipan GST telah dimasukkan terus ke dalam Akaun Hasil Disatukan yang menurut Peguam Negara, amalan itu menyalahi prinsip asas undang-undang amanah dan keperluan perakaunan amanah, serta tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014, katanya.

Rumusan laporan PAC menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu telah menggunakan kutipan GST untuk tujuan lain dan seterusnya menyebabkan kekurangan dana berjumlah RM19.25 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: GST: Najib akui rasa terbela dengan laporan PAC

Menurut beliau, Jabatan Akauntan Negara dalam laporan PAC menyatakan sejumlah RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik GST telah dibelanjakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan, sedangkan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia mengakui bahawa RM19.4 bilion masih lagi tidak dibayar akibat dana yang tidak mencukupi dalam Tabung Bayaran Balik GST.

Tabung Bayaran Balik GST setakat 31 Mei 2018 hanya mempunyai RM150 juta, katanya.

Menurut Lim, PAC susulan itu telah mengesyorkan dua langkah di mana pentadbiran kerajaan perlu memastikan pematuhan penuh undang-undang negara khasnya dalam pelaksanaan tatacara kewangan supaya sistem pentadbiran kewangan lebih teratur dan berakauntabiliti.

PAC juga mengesyorkan pegawai kerajaan yang telah diamanahkan perlu sentiasa menasihatkan pentadbiran kerajaan mengenai undang-undang, prosedur dan maklumat perangkaan tanpa perlu ada rasa gentar atau pilih kasih, terutamanya dalam perancangan aliran tunai dan disiplin kewangan yang berakauntabiliti. -Bernama