Pelawaan PH tak ikhlas, kata pemimpin Pas

Mohd Tarmizi
Mohd Tarmizi
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menyifatkan pelawaan Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi sebahagian daripada komponen mereka demi penyatuan umat Islam disifatkan tidak ikhlas.

Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, sebaliknya pelawaan itu hanya untuk menjamin kuasa dan jawatan mereka dikekalkan dalam tampuk pemerintahan negara.

Menurutnya, disebabkan agenda itu, PH secara berterusan mempelawa Pas untuk menyertai komponen gabungan terbabit, meskipun pelbagai kritikan negatif diberikan kepada parti Pas.

“PH kini dalam keadaan terdesak dan mereka sedar kalau dibiarkan gabungan Pas dan UMNO secara berterusan mungkin mereka (PH) akan menjadi kerajaan sepenggal sahaja.

“Buat masa ini Pas tidak melihat jemputan ini sebagai jemputan yang ikhlas tetapi ia lebih kepada penyelesaian atau cara untuk menyelamatkan jawatan mereka. Malah, rakyat juga melihat kerajaan PH telah gagal menunaikan manifesto,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa PH sedia membuka pintu kerjasama kepada Pas untuk menjadi sebahagian komponen mereka.

Katanya, pelawaan itu dibuat demi penyatuan umat Islam di negara ini dan diminta agar dapat mempertimbangkannya.

Sebelum itu, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar juga menyokong pelawaan itu dan melihat partinya tidak mempunyai sebarang masalah jika Pas bekerjasama dengan PH walaupun pernah bermusuhan ketika pilihan raya umum lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai kenyataan itu, Mohd Tarmizi mempersoal bagaimana PH boleh membuka pintu kerjasama dengan Pas sedangkan mereka memberi pelbagai tuduhan negatif kepada partinya.

“Tiba-tiba parti yang dituduh dengan pelbagai tuduhan buruk diajak menyertai dan bekerjasama dengan PH,” katanya.

Beliau juga menegaskan Pas sudah ada ada kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRU15.

Katanya, jaringan kerjasama antara kedua parti itu semakin baik bukan sahaja di peringkat kepimpinan, tetapi juga dari akar umbi.

“Saya yakin kerjasama itu dilihat mampu gugat kestabilan kepimpinan PH,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PH sedia buka pintu kepada Pas: Mukhriz