Bahrain minat Proton X70: Redzuan

Proton X70
Proton X70
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bahrain menyuarakan minatnya untuk mengimport model terbaharu Proton, X70.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata, beliau mengetahui minat negara itu semasa lawatan kerja ke Bahrain baru-baru ini yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, dengan Proton memperoleh manfaat daripada kunjungan itu.

"Selain Bahrain, Proton juga boleh memasuki pasaran timur Eropah," katanya selepas pelancaran Koperasi Harapan Bhd (KHB) hari ini.

Redzuan berkata beliau sudahpun menyampaikan minat Bahrain itu kepada Proton Holdings, dan terpulanglah kepada syarikat itu untuk mengambil tindakan susulan.

"Sebagai usahawan, kita perlu memikirkan cara untuk memanfaatkan pasaran luar negara dan mendapat faedah daripadanya," katanya.

Mengenai pelancaran KHB, beliau berkata ia akan mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan ahli Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa).

"KHB juga akan menawarkan aplikasi e-wallet yang terdiri daripada transaksi digital, ruang pasaran, al-rahnu, promosi, tawaran kredit dan urus niaga terjamin," katanya.

E-wallet dijangka dilancarkan dalam tempoh tiga bulan sementara menunggu kelulusan dari pihak berkuasa berkaitan, termasuk Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Redzuan juga berkata, KHB mencadangkan penubuhan kolej keusahawanan untuk meningkatkan kualiti usahawan muda di negara ini.

"Kita mempunyai kira-kira 6.5 juta ahli koperasi di seluruh negara. Saya percaya ini akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan meningkatkan sumbangan ke arah membangunkan ekonomi negara," katanya. - Bernama