Pulau Pinang perlu patuh zon konservasi perikanan

Datuk Salahuddin Ayub - Foto BERNAMA
Datuk Salahuddin Ayub - Foto BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pulau Pinang, tanpa gagal perlu mematuhi zon konservasi perikanan dalam pelaksanaan projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR), persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ia bagi melindungi nelayan setempat yang terjejas hasil tangkapan ikan dan hidupan laut mereka ekoran pelaksanaan projek berkenaan.

“Kementerian melalui Jabatan Perikanan telah menggariskan penggazetan zon perikanan di sepanjang pesisir pantai dari Pulau Betung sehingga Teluk Bahang termasuk kawasan air sehingga satu batu nautika dan penggazetan ‘middle bank’ sebagai kawasan perlindungan perikanan.

“Selain itu, kerajaan negeri juga perlu mengubahsuai reka bentuk pulau dengan menyediakan laluan migrasi ‘subtidal zone’ sedalam satu hingga dua meter, ketika air surut paling rendah dengan kelebaran mencukupi di selatan pulau yang dicadangkan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) yang ingin tahu sama ada projek penambakan laut PSR akan menjejaskan hasil tangkapan ikan dan hidupan laut nelayan di kawasan tersebut, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Salahuddin berkata, pembelaan atau pampasan yang setimpal kepada nelayan di Pulau Pinang juga harus diberikan akibat projek tersebut.

“Memandangkan projek ini inisiatif kerajaan Pulau Pinang, maka kementerian ini berpandangan, nelayan-nelayan yang terjejas menjadi tanggungjawab dan perlu diambil tindakan sewajarnya oleh kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata secara keseluruhan, pelaksanaan projek PSR akan menjejaskan 4,996 nelayan di Pulau Pinang, dan 1,422 adalah terdiri daripada nelayan tradisional Zon A.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dianggarkan sebanyak 51,184 tan metrik dengan nilai RM555 juta setahun pendaratan perikanan tangkapan marin di Pulau Pinang akan terjejas akibat kemusnahan kekal itu.

“Projek PSR ini juga akan menjejaskan 511 penternak akuakultur (ikan marin) dengan pengeluaran 45,742 tan metrik bernilai RM1.67 bilion setahun,” katanya. - Bernama