Kutipan GST: Pemuda Pas bagi kata dua kepada Guan Eng

Lim Guan Eng - Foto BERNAMA
Lim Guan Eng - Foto BERNAMA
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas memberi kata dua kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sama ada memohon maaf secara terbuka di Dewan Rakyat atau meletakkan jawatan.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, kenyataan Guan Eng di Parlimen sebelum ini yang mendakwa wang kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah ‘dirompak’ adalah tindakan penipuan, tidak wajar dan menjadi kesalahan besar dalam tatacara Dewan Rakyat.

“Justeru, Menteri Kewangan dituntut memohon maaf secara terbuka di dalam Dewan Rakyat atas kenyataan tersebut atau meletakkan jawatan.

“Tindakan Menteri Kewangan yang sudah beberapa kali cuba mengelirukan Dewan Rakyat perlu ditangani secara serius kerana kenyataan beliau merendahkan Dewan Rakyat, memberikan persepsi buruk terhadap Malaysia dan lebih malang lagi menjejaskan keyakinan pelabur sehingga menjatuhkan pencapaian ekonomi negara secara keseluruhan. Ini membuktikan beliau tidak kompeten dalam menjalankan tugasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan siasatan khas dibuat sama ada wang pulangan balik (refund) yang dikonsolidasi dalam wang yang disatukan itu menyalahi undang-undang atau ia disebabkan kelemahan (loophole) perundangan yang dimanipulasi.

“Jika ia menyalahi undang-undang, ia bermaksud kerajaan terdahulu menyalahi etika ‘good governance’ dan tindakan yang tegas perlu diambil untuk mengelak manipulasi ini berlaku lagi pada masa akan datang.

Semalam, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan tidak ada kehilangan dalam kutipan GST.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah digunakan untuk tujuan membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Artikel Berkaitan: