Ditipu tawaran pengajian, universiti palsu

Jia Kee, Guon Nan dan Chee Wai pada sidang media di Wisma MCA.
Jia Kee, Guon Nan dan Chee Wai pada sidang media di Wisma MCA.
A
A
A

IPOH - Seorang remaja membuat laporan polis selepas mengetahui dirinya tertipu dengan tawaran pengajian daripada sebuah pusat tuisyen di ibu negara yang menawarkan program pengajian sambil bekerja sejak empat tahun lalu.

Pekerja pusat tuisyen berkenaan yang hanya dikenali Ooi Jia Kee, 21, berkata, dia ditawarkan mengikuti pengajian di pusat tuisyen itu oleh majikannya yang mendakwa pusat tuisyen berkenaan sebagai francais daripada sebuah universiti.

Menurut Jia Kee, dia turut dimaklumkan bahawa yuran pengajian akan ditolak daripada gajinya secara automatik setiap bulan.

"Sebagai makluman, gaji saya adalah sebanyak RM500 dan setiap bulan mula 2016 sehingga 2019, sebanyak RM412 ditolak daripada akaun bank saya sebagai bayaran yuran pengajian.

"Kemudian saya membayar sebanyak RM475 pada 2017 dan RM675 bagi 2018 namun selepas melayari Facebook baru-baru ini saya dapati pengajian ditawarkan itu adalah palsu dan universiti berkenaan juga palsu," katanya di sini hari ini.

Dia berkata demikian ketika membuat pengaduan di Wisma MCA bersama seorang lagi rakannya, Pang Chee Wai yang turut tertipu dengan pengajian berkenaan selepas membuat laporan polis di Balai Polis Taiping, malam tadi.

Menurutnya, kerugian dialaminya berjumlah RM20,000 manakala Chee Wai RM50,000.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan & Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berharap perkara berkenaan dapat disiasat segera oleh polis dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kita memandang serius perkara ini dan berharap ia dapat disiasat agar ia tidak berulang dan lebih ramai yang menjadi mangsa. Kita juga mahu pihak pusat tuisyen berkenaan tampil membuat penjelasan berhubung perkara ini," katanya.