Mesyuarat bincang Piagam UMNO, Pas tangguh lagi

Menurut Takiyuddin, mesyuarat yang sepatutnya diadakan malam ini ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
Menurut Takiyuddin, mesyuarat yang sepatutnya diadakan malam ini ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen. - Foto Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Piagam Pas dan UMNO masih belum dapat dimuktamadkan susulan mesyuarat kedua-dua parti itu ditangguhkan lagi.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, mesyuarat yang sepatutnya diadakan malam ini ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen.

"Kita belum muktamadkan piagam antara Pas dan UMNO. Sepatutnya kedua-dua parti mesyuarat malam ini tapi tertangguh lagi sebab ada pengundian Pindaan Perlembagaan sampai malam, kita tangguh dahulu.

"Kita akan buat secepat mungkin dalam bulan ini juga," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mesyuarat berkenaan muafakat antara Pas dan UMNO bagi meneliti draf piagam tersebut sepatutnya diadakan pada 10 Julai lalu, bagaimanapun ia ditangguhkan.

Piagam dan dokumen perjanjian persefahaman itu dijangka akan mengukuhkan lagi taawun siyasi antara kedua-dua parti itu.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, isi kandungan piagam juga belum dimuktamadkan.

"Masih belum dimuktamadkan, bila sudah muktamad kita akan beritahu. Belum muktamad mungkin akan berubah-ubah," katanya.

Artikel Berkaitan: