Gempa 5.7 magnitud landa Bali, tiada amaran tsunami dikeluarkan

 Video dan gambar dimuat naik agensi BNPB Indonesia di laman Twitter menunjukkan antara kerosakan susulan gempa di Bali.
Video dan gambar dimuat naik agensi BNPB Indonesia di laman Twitter menunjukkan antara kerosakan susulan gempa di Bali.
A
A
A

BALI - Gempa bumi berkekuatan 5.7 magnitud melanda destinasi pelancongan terkenal Bali di Indonesia namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Agensi pemantauan gempa bumi Eropah, EMSC pada awalnya berkata, gempa terbabit berkekuatan 6.2 magnitud namun diturunkan kepada 5.7 magnitud.

Gempa terbabit berpusat 102 kilometer barat daya Denpasar dengan kedalaman 100 kilometer.

Menurut pihak berkuasa, gempa yang melanda barat daya Bali itu berlaku pada kira-kira jam 8 pagi (waktu tempatan) hari ini dan mengejutkan penduduk sekitar, saksi melaporkan dinding rumah mereka bergegar.

Penduduk Kuta, Canggu, Seminyak dan Ubud turut melaporkan merasai gegaran ekoran gempa tersebut.

“Saya masih berbaring di katil apabila gegaran berlaku, saya berasa amat takut kerana bimbang terjadinya tsunami," kata saksi dari Kuta kepada EMSC.

Seorang pelancong yang menginap di Hilton Garden Inn di Bali pula berkata, pengunjung terjaga akibat gegaran kuat namun tiada sebarang kerosakan berlaku.

Gempa terbabit turut menyebabkan sebahagian bangunan runtuh termasuk beberapa hotel di pulau pelancongan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beberapa sekolah turut ditutup berikutan kerosakan kecil yang dialami susulan gempa.

Pengunjung yang menginap di beberapa hotel di Nusa Dua dan Seminyak turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga namun tiada sebarang laporan kerosakan besar diterima.

Ini merupakan gempa ketiga melanda Bali dalam masa beberapa hari, Ahad lalu gempa berkekuatan 7.2 magnitud di Pulau Maluku meragut dua nyawa. - Agensi