Cucu tumbuk nenek hingga lebam

Keadaan kecederaan yang dialami oleh warga emas terbabit selepas ditumbuk berkali-kali oleh suami kepada cucunya dalam kejadian di Kampung Hilir, Batang Melaka semalam.
Keadaan kecederaan yang dialami oleh warga emas terbabit selepas ditumbuk berkali-kali oleh suami kepada cucunya dalam kejadian di Kampung Hilir, Batang Melaka semalam.
A
A
A

JASIN - Seorang warga emas cedera di dahi dan lebam pada kedua belah mata selepas ditumbuk berkali-kali oleh suami kepada cucunya dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Hilir, Batang Melaka di sini semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 24 tahun itu bertindak demikian kerana berang selepas tidak tahan mendengar tangisan bayi perempuannya sehingga dia bertindak melepaskan geram dengan menumbuk nenek isterinya itu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, tindakan lelaki itu menyebabkan warga emas berusia 69 tahun berkenaan terpaksa menerima rawatan di Hospital Jasin.

“Ketika kejadian sekitar 6 pagi semalam, cucu perempuan mangsa berada di dalam bilik air dan meninggalkan bayi perempuannya berusia 8 bulan.

“Selepas memaki mangsa dengan kata-kata kesat dengan mendakwa mangsa tidak pandai menjaga bayi dan memukul warga emas itu sehingga rebah, suspek bersama isteri dan bayi mereka kemudian bertindak melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Arshad berkata, suspek dan isteri yang tidak mempunyai pekerjaan tetap tinggal bersama mangsa sejak mereka berkahwin dan ditanggung warga emas itu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah agama.

“Mangsa kemudian mendapatkan rawatan awal di Hospital Jasin sebelum dirujuk ke pakar mata di Hospital Melaka kerana mata pengadu lebam dan tidak boleh dibuka serta kemungkinan boleh hilang penglihatan.

“Suspek berusia 24 tahun itu kita berjaya tahan di Bachang, Melaka sekitar jam 11 malam semalam dan ujian air kencingnya juga didapati positif methamphetamine. Suspek juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.