Alkisah hantaran mahal

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Anita)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Anita)
A
A
A

BARU-BARU ini tular kisah seorang gadis gara-gara bercakap isu wang hantaran perkahwinan sekurang-kurangnya RM15,000 kerana dia memiliki ijazah sarjana muda.

Gadis itu bagi pandangan penulis memang manis tetapi dia teruk dikecam netizen selepas videonya tular di media sosial.

Namun klip video yang tular hanyalah sebahagian daripada video penuh berdurasi kira-kira tujuh minit daripada program bual bicara bersama empat orang gadis tentang isu perkahwinan yang dihasilkan oleh sebuah syarikat penerbitan.

Penulis sebenarnya tertarik juga nak berkongsi cerita mengenai isu hantaran ini. Maaf, pandangan penulis ini tidak semata-mata menyentuh isu hantaran RM15,000 yang diluahkan oleh gadis dalam video tular itu. Bukan juga soal wang hantaran yang acapkali dikaitkan dengan tahap pendidikan seseorang gadis. Ijazah hantaran begini, Master hantaran begitu. Ada PHD khabarnya lagi mahal!

Sebenarnya penulis tidak faham mengapa orang ramai terutama pihak lelaki cepat melatah dan mengecam apabila isu hantaran mahal diperdebatkan.

Wahai lelaki, masih wajarkah wang hantaran antara RM2,000 dan RM5,000 dalam keadaan ekonomi semasa sekarang? Adakah salah pihak perempuan meminta RM15,000?

Menurut seorang pengusaha katering, harga makanan paling kurang pun antara RM7.50 dan RM10 bagi seorang tetamu. Jika 1,000 tetamu dijemput bermakna RM10,000 hanya untuk belanja katering!

Seorang pengusaha butik pengantin memberitahu, dia menawarkan pakej perkahwinan untuk 1,000 tetamu lengkap pakej pelamin, persolekan dan persalinan pengantin dengan harga promosi RM16,800.

Artikel Berkaitan:

Bagaimana jika bukan harga promosi?

Jadi wajarkah keluarga perempuan yang meminta hantaran RM10,000 dan ke atas itu dikutuk dan dituduh jual anak? Penulis beranggapan tiada pun ibu bapa yang memakai istilah 'jual anak' melainkan mereka memerlukan wang hantaran yang wajar untuk membuat kenduri walimatul urus.

Sebenarnya isu wang hantaran perkahwinan ini bergantung kepada bakal tunang si gadis. Keluarga pihak perempuan kena bijak menilai kemampuan kewangan calon menantu. Penulis beranggapan dalam setiap perdebatan isu wang hantaran, ia sering dilontarkan secara emosi, sinis dan penuh sindiran serta kritikan.

Bahkan penulis cukup kesal apabila ada segelintir lelaki memberi komen di luar konteks atau lebih parah seolah-olah 'menghina' dengan mengaitkannya dengan peranan wanita.

Antara tohmahan lelaki selalu didengar adalah mengaitkan jumlah wang hantaran dengan kehandalan seseorang perempuan memasak! Cukup penulis tidak faham apabila wang hantaran disamakan dengan kebolehan perempuan di dapur termasuk membuat kerja rumah dan menguruskan anak-anak.

Sebenarnya penulis turut memerhatikan komen netizen dalam kisah hot hantaran RM15,000 ini. Agak menyedihkan apabila dalam salah satu komen netizen menulis dengan sinis berbunyi begini: 'Patut lah ramai anak dara tua. Itu pun dah tak berapa nak dara. Kalau minta bajet bajet cantik je, dia tak tau lelaki ni setengah mati nak kumpul duit. Kalau cantik, pandai masak, pandai buat semua benda tak apa."

Mengaitkan wang hantaran dengan isu anak dara tua adalah melampau kerana ia berkaitan soal jodoh yang secara mutlaknya diatur oleh ALLAH SWT.

Berkenaan dengan soal setengah mati kumpul duit hantaran, alahai lelaki...janganlah sampai bergolok gadai hingga hilang nyawa semata-mata kerana wang hantaran. Ia bukan wajib tetapi budaya.

Kalau sudah tidak mampu, bincang elok-elok dengan bakal tunang dan mertua. Janganlah sampai bergaduh kerana wang hantaran.

Tentunya masyarakat masih ingat insiden yang berlaku di Selangor pada 2016 apabila bakal pengantin lelaki dan ahli keluarga pihak perempuan bertumbuk gara-gara tidak sepakat isu wang hantaran.

Akibatnya majlis untuk membina 'masjid' jadi porak peranda. Selagi lagi penulis nak khabarkan, pandangan penulis ini adalah umum mengenai sebab musabab ada pihak perempuan meminta wang hantaran mahal. Bukan niat penulis hendak sokong wang hantaran wajib mahal.

Wanita ini apabila berkahwin tugas dan peranannya semua sama. Cuma kepada lelaki, jika mengahwini wanita memiliki sjil pendidikan tinggi, bermakna dia boleh mendapat pekerjaan yang bagus dan bergaji lumayan.

Jadi, adakah anda rasa tak berbaloi apabila memberikan hantaran lebih RM10,000 sedangkan sepanjang hidup mengemudi rumah tangga isteri membantu perbelanjaan.

Majlis nikah boleh makan bubur kacang sahaja. Tiada pelamin tiada persalinan baju pengantin pun boleh.

Penulis pun masih anak dara, belum pun menetapkan nilai hantaran sebab belum periksa poket 'cik abang'.

Wahai lelaki, masih wajarkah wang hantaran antara RM2,000 dan RM5,000 dalam keadaan ekonomi semasa sekarang? "

* Anita Abu Hasan ialah Wartawan Kanan Sinar Harian