Kerajaan disaran tangguh pelaksanaan levi pelepasan

Khairuddin Aman Razali
A
A

KUALA NERUS - Pelaksanaan levi pelepasan bermula September ini dilihat mampu menyumbang kepada kegagalan Tahun Melawat Melaysia (TMM) 2020.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, TMM 2020 menyasarkan 30 juta pelancong dengan kutipan RM100 bilion namun sejak dua tahun yang lalu jumlah itu hanya kira kira 25.8 juta pengunjung ke Malaysia setahun.

"Pelaksanaan levi pelepasan itu boleh menyebabkan jumlah penumpang udara akan terus berkurang sekali gus mengurangkan jumlah kedatangan pelancong malah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) pada 2018 menjangkakan enam peratus penumpang atau dua juta pelancong akan berkurangan.

"Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada tahun ini juga menjangkakan jumlah penumpang akan berkurangan sebanyak 835,000 setahun,” katanya dalam kenyataannya kepada media semalam.

Menurutnya, kerajaan seharusnya mengambil pengajaran daripada pelaksanaan pelbagai cukai atau caj sebelum ini sehingga sumbangan sektor penerbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut sebanyak RM1.72 bilion (AS$419 juta).

“Ini juga menyebabkan kehilangan 5,300 pekerjaan dan menghakis daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan ia ditambah apabila ppada 2017, Cukai Pelancongan dikenakan kepada pelancong asing yang menginap di hotel manakala pada 2018 caj perkhidmatan penumpang (PSC) dinaikkan," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, pada Mac tahun ini pula Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mula melaksanakan caj RM8 bagi bas persiaran dan RM4 bagi van pelancong untuk mengambil dan menurunkan penumpang di KLIA2.

"Saya percaya jika levi pelepasan tetap diteruskan pada September ini, industri pelancongan akan semakin merosot teruk. Oleh itu, saya menggesa supaya levi pelepasan ini ditangguhkan dahulu sehingga telah mengambil kira prestasi TMM 2020 nanti," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia