Warga Kemas perlu teroka cara kerja baharu

Tosrin (dua dari kanan) mewakili Menteri Besar sempena Majlis Hari Potensi Tabika dan Taska Kemas Negeri Johor di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) semalam.
Tosrin (dua dari kanan) mewakili Menteri Besar sempena Majlis Hari Potensi Tabika dan Taska Kemas Negeri Johor di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) perlu meneroka bentuk cara kerja baharu dengan menguasai inovasi dan teknologi seperti media sosial yang kini menjadi pilihan sebagai penghubung komunikasi berkesan antara rakyat dan kerajaan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi berkata, jika sebelum ini penerangan dasar-dasar kerajaan hanya dibuat melalui pertemuan bersemuka, ceramah dan seumpamanya tapi kini semua itu boleh dilaksanakan melalui jaringan media sosial.

Menurutnya, platform berkenaan perlu digunakan untuk membentuk hubungan rangkaian dan jaringan bersama golongan sasar Kemas dalam membantu menyampaikan agenda baharu kerajaan Johor.

"Di samping saya menekankan kepentingan dan keberkesanan dunia digital, saya tidak sama sekali menidakkan usaha Kemas melaksanakan pelbagai aktiviti bersifat konvensional termasuklah pelaksanaan kelas-kelas tabika dan taska, kelas memasak, menjahit dan pelbagai kelas kemahiran kepada masyarakat.

"Malahan saya amat sarankan agar Kemas terus melaksanakan program berbentuk 'community development' seperti ini dan diperbanyakkan serta diperluaskan lagi kerana rapatnya ukhuwah Kemas dengan masyarakat.

"Kerajaan negeri tidak sama sekali memandang Kemas sebagai agensi pusat semata-mata tetapi lebih melihat peranan Kemas secara holistik di dalam proses memajukan masyarakat dan rakyat negeri Johor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal sempena Majlis Hari Potensi Tabika dan Taska Kemas Negeri Johor di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) semalam.

Tosrin berkata, Kemas perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas hakiki untuk membangunkan modal insan agar hasrat untuk menyediakan masyarakat berjiwa global dapat dicapai ke arah persediaan menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia penting bagi Kemas untuk terus menjadi ejen perubahan minda rakyat melalui pendidikan awal secara formal khususnya kepada anak-anak berumur 5 dan 6 tahun.

Jelasnya, seramai 1,400 tenaga pengajar mencorak dan menabur bakti kepada hampir 26,000 kanak-kanak di seluruh Tabika dan Taska Kemas negeri Johor.

"Saya juga menyeru kepada warga Kemas untuk sama-sama berkongsi idea, berpandangan jauh dan sentiasa memikirkan hal masyarakat.

"Terus menggembleng tenaga bersama-sama kerajaan negeri menjayakan hasrat mensejahterakan negeri ini," katanya.