PRU15 milik suara anak muda

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

KERAJAAN dan pembangkang telah bersetuju dengan cadangan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Ramai percaya cadangan daripada kerajaan ini akan ‘memakan diri’ sendiri. Sebabnya, memang sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa setiap kali pilihan raya, golongan muda lebih suka menyokong pembangkang daripada kerajaan.

Namun kita tabik kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana berani membawa usul itu untuk diluluskan dalam sidang Parlimen.

Barangkali kerajaan tidak mampu menawan sokongan pengundi muda, tetapi pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan ini benar-benar menjadikan sistem pentadbiran kerajaan lebih telus dan demokrasi.

Syed Saddiq sendiri menganggarkan kira-kira 500,000 pengundi baharu akan didaftarkan setiap tahun dan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), akan ada lebih kurang 20 hingga 21 juta pengundi di Malaysia.

Kita boleh menjangkakan, PRU15 bakal menjadi gelanggang yang menarik dengan jumlah pengundi mencecah sehingga 21 juta.

Sama ada Pakatan Harapan akan meneruskan pemerintahan sekali lagi atau ia terpaksa menyerahkan pemerintahan kepada pihak lain, tidak syak lagi pengundi muda akan menjadi penentu utama.

Jadi, untuk mengelakkan menjadi kerajaan sepenggal, menteri-menteri perlulah betul-betul bekerja untuk tidak menghampakan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Banyak agenda dan janji-janji yang pernah ditaburkan kepada golongan muda perlulah ditunaikan kerajaan. Sebagai contoh isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mencetuskan kontrovesi sehingga menggugat keyakinan golongan muda terhadap kerajaan.

Salah satu faktor kemenangan PH pada PRU lalu adalah kerana sokongan pengundi muda. Pada PRU akan datang, tidak mustahil politik boleh berubah kerana pengundi muda juga.

Nantikan PRU15, ia adalah pilihan raya milik suara orang muda!